MADRID – Pengendali Sepanyol, Luis de la Fuente tetap berbangga dengan pencapaian anak buahnya meskipun terpaksa akur tewas 2-3 kepada England pada aksi Liga Negara-Negara Eropah, awal pagi semalam.
Pada aksi di Stadium Metropolitano itu, pencapaian luar biasa La Roja yang tidak tewas dalam 43 perlawanan lepas akhirnya menemui titik noktah, namun kekecewaan ini tidak menghalang kemaraan Sepanyol ke peringkat suku akhir.
“Saya hanya mempunyai rasa bangga dan harus menghargai pemain atas segala yang mereka lakukan. Saya bangga dengan perjalanan hebat ini dan apa yang masih menanti kami. Kita perlu tahu bagaimana untuk menang dan menerima kekalahan.
“Kami sudah tahu bagaimana untuk menang dan patut tahu pula rasanya tewas. Kami agak bergelut dalam tempoh 30 minit pertama dan England adalah pasukan yang lebih baik apabila mendominasi aksi kali ini,” katanya.
Pada perlawanan kali ini, skuad The Three Lions terpaksa menamatkan perlawanan dengan 10 pemain selepas Elliot Anderson dilayangkan kad merah.
England jelas berada pada prestasi terbaik apabila mendahului 3-0 hasil jaringan Harry Kane, Ezri Konsa dan Ben White, manakala dua jaringan La Roja dihasilkan Mikel Oyarzabal dan Nico Williams.
“Apabila kami tidak mampu memulakan perlawanan dengan baik, ia pasti akan menyukarkan pasukan. Kami tetap berjaya bangkit, pemain sudah beri segala-galanya namun agak kecewa kerana tidak mampu untuk dapatkan sekurang-kurangnya keputusan seri,” katanya. – AGENSI














