KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini menetapkan esok bagi keputusan Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad berhubung tiga pertuduhan subahat rasuah RM2.8 juta membabitkan pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad.
Keputusan sama ada balu Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin itu dilepas atau disabitkan atas tiga pertuduhan di akhir kes pembelaan akan ditentukan Hakim Rosli Ahmad yang selesai mendengar hujahan lisan daripada kedua-dua belah pihak.
Sebelum ini mahkamah mengarahkan pihak-pihak memfailkan hujahan tambahan sebelum atau pada 9 Julai lalu sebelum tarikh keputusan itu.
Sepanjang prosiding, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How dan Mohd. Fadhly Mohd. Zamry, manakala Zizie Izette, 48, diwakili peguam K. Kumaraendran, M. Athimulan dan Ridha Abdah Subri.
Mengikut pertuduhan pertama, Zizie Izette didakwa bersubahat dengan Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad dengan memperoleh suapan tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi suaminya mendapat kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra Berhad membuat pelaburan RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.
Bagi pertuduhan kedua, pelakon itu didakwa bersubahat dengan suaminya untuk memperoleh suapan tunai berjumlah RM262,500 melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund yang didaftarkan atas namanya bagi tujuan serupa.
Untuk pertuduhan ketiga, Zizie Izette dituduh bersubahat dengan Bung Moktar dengan memperoleh suapan tunai RM337,500 daripada seorang lagi ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund yang didaftarkan atas namanya bagi tujuan sama.
Zizie Izette didakwa melakukan semua kesalahan itu di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati di sini pada 12 dan 19 Jun 2015. Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,
Jika sabit kesalahan, wanita itu berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Pada 16 Januari lalu, Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan Bung Moktar daripada tiga pertuduhan rasuah itu selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan kes berikutan pemimpin politik tersebut meninggal dunia pada 5 Disember 2025. – KOSMO! ONLINE














