KAMPAR – Seorang pesara lelaki berumur 67 mengalami kerugian RM150,000 apabila terpedaya dengan kes penipuan pelaburan yang menggunakan nama sebuah syarikat terkenal melalui medium media sosial.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, siasatan awal mendapati, pada penghujung September 2025, mangsa telah melihat iklan berkaitan pelaburan yang ditawarkan melalui laman sosial dengan menggunakan jenama sebuah syarikat sukan terkenal.
“Mangsa kemudian telah menekan pautan yang terdapat dalam iklan tersebut sebelum dimasukkan ke dalam satu kumpulan Telegram yang kemudian tertarik melihat iklan yang dimuat naik oleh suspek yang menjanjikan pulangan lumayan setiap bulan.
“Pengadu telah membuat transaksi pindahan wang bagi menyertai pelaburan berkenaan. Pembayaran dibuat ke akaun peribadi yang diberikan suspek sehingga RM130,000 dalam tempoh September 2025 sehingga Jun 2026,” katanya di sini, hari ini.
Katanya, pada awal bulan lalu, mangsa ingin mengeluarkan modal serta keuntungan namun suspek mengarahkannya untuk membuat beberapa lagi transaksi bayaran sehingga berjumlah RM20,000.
“Mangsa mula curiga apabila suspek masih meminta bayaran tambahan bagi membolehkan pengeluaran modal dan keuntungan namun masih tidak menerima keuntungan yang dijanjikan. Mangsa kemudian membuat laporan polis,” katanya. – KOSMO! ONLINE














