PETALING JAYA – Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) merancang untuk memasang kenderaan elektrik (EV) jenama Dongfeng secara pemasangan tempatan (CKD) di negara ini tahun depan.
Presidennya, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, langkah berkenaan bagi menyokong Dasar Automotif Nasional serta saranan kerajaan untuk mengutamakan pemindahan teknologi dan CKD.
Jelas beliau, ketika ini perancangan tersebut masih di peringkat perbincangan dengan pengeluar kenderaan jenama Dongfeng dari China.
Pada masa sama katanya, Pekema juga sedang mengenal pasti syarikat pemasang yang sesuai untuk melaksanakan proses berkenaan.
“Kita sedang dalam perbincangan dengan Dongfeng China untuk memasang kenderaan secara CKD di sini.
“Mungkin awal tahun depan kerana kita masih dalam rundingan dan perlu mengenal pasti syarikat pemasang yang boleh melakukan kerja pemasangan,” katanya ketika ditemui pada Kejohanan Golf Piala Presiden Pekema Ediesi ke-12 di Putrajaya semalam.
Menurut beliau, semua model kenderaan Dongfeng yang berharga di bawah RM200,000 akan dipertimbangkan untuk dipasang secara CKD di Malaysia.
Katanya, beberapa lokasi termasuk di Melaka dan Johor Bahru sudah dikenal pasti untuk penyediaan kemudahan pemasangan CKD itu, namun ia bergantung kepada persetujuan dengan syarikat pengeluar kenderaan tersebut
“Kita sudah meninjau di Melaka dan Johor Bahru, tetapi belum membuat keputusan kerana ia turut melibatkan pengeluar utama kita dari China,” katanya.
Terdahulu, beliau memberitahu, kejohanan Golf Pekema Edisi ke-12 itu menyaksikan penyertaan meningkat kepada 500 peserta tahun ini berbanding 400 peserta tahun lalu.
Kejohanan itu menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM500,000 termasuk hadiah utama kereta MPV Vigo daripada jenama Dongfeng bagi cabaran hole-in-one, selain televisyen, wang tunai RM20,000, RM10,000 dan RM5,000 serta pelbagai hadiah lain.-KOSMO! ONLINE














