JOHOR BAHRU – Cubaan seorang lelaki menceroboh sebuah rumah di Kampung Melayu Majidee di sini gagal apabila dia berjaya ditangkap orang awam sebelum diserahkan kepada polis pagi tadi.
Kejadian itu turut tular di media sosial menerusi satu rakaman video yang memaparkan suspek ditahan oleh beberapa individu di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd. Shaffei berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 8.42 pagi daripada seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun yang juga anggota polis.
Menurutnya, susulan laporan diterima, sepasukan anggota dari Balai Polis Majidee bertindak ke lokasi sebelum menahan suspek kira-kira pukul 9 pagi.
“Suspek merupakan lelaki warga tempatan berusia 48 tahun yang ditahan di tepi jalan di Kampung Melayu Majidee.
“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai lima rekod lampau membabitkan kes jenayah dan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Johor Bahru esok bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh rumah, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.-KOSMO! ONLINE














