BANGI – Kerajaan tidak boleh menurunkan harga minyak sewenang-wenangnya dan dalam masa sama perlu menampung kira-kira RM40 bilion setahun bagi subsidi petrol dan diesel.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pada masa ini, harga petrol di Arab Saudi mencecah RM2.40 hingga RM2.5O selitar walaupun negara tersebut merupakan antara pengeluar petroleum terbesar dunia dan mempunyai kapasiti pengeluaran yang besar.
“Tentang harga minyak, saya tengok dalam media sosial orang kata, ‘Anwar tak turun harga minyak’. Saya pun tidak faham. Ada yang kata harga sepatutnya turun sehingga 50 sen.
“Saya kata, ketika cadangan itu dibuat dahulu, harga petrol di Arab Saudi 50 sen seliter. Malaysia pula masih mengimport hampir 50 peratus keperluan petroleum kita, tetapi kita masih dapat menjual petrol RM1.90 seliter.
“Alhamdulillah. Tahukah saudara berapa subsidi yang kerajaan tanggung setiap tahun bagi petrol dan diesel? RM40 bilion setahun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sesi Santai Mesra Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara dengan warga perkhidmatan awam zon tengah di Universiti Islam Selangor di sini, hari ini.
Anwar berkata, sekiranya harga minyak diturunkan lagi, kerajaan terpaksa menanggung lebih banyak hutang negara.
“Setiap kali saudara mengisi minyak, terdapat suntikan subsidi daripada kerajaan. Keseluruhannya mencecah RM40 bilion setahun untuk petrol dan diesel.
“Orang boleh kata suruh turunkan lagi harga minyak. Tetapi siapa yang hendak membayarnya? Saya tidak mahu terus menambah hutang negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE














