JAKARTA – Polis sedang giat memburu pencuri yang menggunakan sebuah kereta untuk melarikan seekor kambing milik penduduk di perumahan BTN Green Baliase, Daerah Sigi, wilayah Sulawesi Tengah, lapor agensi berita detikSulsel.
Kecurian petang Rabu lalu itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) kawasan perumahan sebelum rakaman tular di media sosial.
Berdasarkan klip video yang tersebar, sebuah kereta berwarna merah dilihat dipandu perlahan di kawasan perumahan sebelum berhenti berhampiran dua ekor kambing di tepi jalan.
Seorang lelaki kemudian turun dari kenderaan tersebut lalu mengejar dan menangkap salah seekor kambing.
Selepas mengangkat dan memasukkan kambing ke dalam kereta, suspek segera menutup pintu dan memecut keluar dari tempat kejadian.
Ketua Perhubungan Awam Polis Sigi, Inspektor Nuik Hayat mengesahkan pihaknya menerima aduan rasmi mangsa berhubung kes kecurian yang berlaku kira-kira pukul 4.15 petang (waktu tempatan) itu.
“Ya benar, laporan mengenai kes kecurian kambing itu telah kami terima,” katanya kepada media tempatan.
Menurutnya, rakaman CCTV yang diserahkan oleh mangsa kini dijadikan bahan bukti utama.
Pihak polis juga sedang mempergiat usaha bagi mengenal pasti identiti suspek melalui nombor pendaftaran dan jenis kereta yang digunakan dalam jenayah berkenaan. – AGENSI














