LANGKAWI – Aktivis, Tamim Dahri Abdul Razak ditahan semula polis di sini hari ini bagi menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan (KK) di Mahkamah Majistret Langkawi, esok.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Khairul Azhar Nuruddin berkata, suspek sebelum ini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, Negeri Sembilan pada Sabtu lalu.
Kata beliau, penahanan itu dibuat bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 506 KK dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sebelum direman selama dua hari.
“Selepas tempoh reman tamat, suspek ditangkap semula oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Langkawi berhubung laporan polis Kuah 2875/26 yang disiasat mengikut Seksyen 295 KK.
“Waran tangkap telah disempurnakan ke atas suspek dan dia akan dibawa ke hadapan Majistret Mahkamah Langkawi untuk tujuan pertuduhan esok,” katanya di sini hari ini.
Kosmo! pada 16 Julai lalu melaporkan polis memohon pengeluaran Notis Merah daripada Polis Antarabangsa (Interpol) bagi mengesan seorang lelaki yang didakwa merosakkan objek suci agama Hindu di Langkawi, Mac lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, suspek, Tamim Dahri Abdul Razak, 34, sebelum ini disenaraikan sebagai orang dikehendaki selepas gagal dikesan dan semakan mendapati dia meninggalkan negara sejurus kejadian. – KOSMO! ONLINE














