SUBANG JAYA – Seorang lelaki warga Myanmar ditahan polis selepas disyaki melanggar orang awam sebelum cuba melarikan diri dalam kejadian di Bulatan Puchong Permai, Persiaran Puchong Permai di sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian kira-kira pukul 11.56 malam.
“Setibanya di lokasi kejadian, polis mendapati orang awam telah menahan suspek yang berada dalam keadaan separuh sedar.
“Hasil pemeriksaan mendapati lelaki tersebut tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah untuk tinggal di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Wan Azlan, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan.
“Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan kepada IPD Subang Jaya di talian 03-7862 7222 bagi membantu siasatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














