ALOR SETAR – Maritim Malaysia (APMM) Kedah dan Perlis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kesahihannya susulan mesej tular mengenai cubaan beberapa bot menyeludup etnik Rohingya.
Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, pihaknya mengambil maklum penyebaran mesej tular di media sosial yang mendakwa terdapat beberapa bot cuba menyeludup etnik itu melalui pesisir pantai Kuala Muda, Kuala Kedah, Yan dan Pulau Pinang.
Katanya, pihaknya sentiasa memandang serius setiap maklumat yang diterima berkaitan ancaman terhadap keselamatan dan kedaulatan perairan negara.
“Setiap maklumat yang diterima akan dinilai, disemak dan disahkan terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan diambil.
“Orang ramai diminta mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi serta tidak menyebarkan dakwaan yang belum dipastikan kesahihannya kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Beliau berkata, APMM sentiasa mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan operasi melalui rondaan berterusan, pemantauan berasaskan risikan serta kerjasama strategik bersama agensi-agensi keselamatan lain bagi membanteras sebarang cubaan pencerobohan atau kemasukan PATI melalui laluan laut.
“APMM tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang mengancam keselamatan dan kedaulatan perairan negara. Setiap maklumat risikan akan disusuli dengan tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya bagi memastikan sempadan maritim negara sentiasa terkawal, selamat dan terpelihara,” ujarnya.
Beliau turut menyeru masyarakat pesisir pantai, komuniti nelayan serta pengguna laut agar terus memainkan peranan sebagai mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di laut atau kawasan pesisir.
“Kita ingin mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri terhadap individu yang disyaki melakukan kesalahan.
“Sebarang tindakan penguatkuasaan, termasuk menahan atau menangkap individu hendaklah diserahkan kepada pihak berkuasa yang mempunyai bidang kuasa,” jelasnya
Tambahnya, maklumat hendaklah disalurkan segera melalui saluran rasmi APMM atau agensi keselamatan berkaitan supaya tindakan pengesahan dan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan cepat, berkesan dan selamat. – KOSMO! ONLINE














