Tertuduh di bawa anggota polis untuk pertuduhan di kompleks Mahkamah Kulim,hari ini. Foto oleh AZAHAR HASHIM/KOSMO!

Koperal polis didakwa cederakan lelaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KULIM – Seorang anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang lelaki pada April lalu.

Tertuduh, Shahrol Ikram Ahmad Halidin, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Hamizah Mat Shah.

Anggota keselamatan itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa berusia 32 tahun di hadapan sebuah kedai alat ganti motosikal di Jalan Tunku Putra di sini, kira-kira pukul 11 pagi, 20 April lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ain Fadilla Muhammad Fauzi menawarkan jaminan RM6,000 selain tidak mengganggu saksi pendakwaan. Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Datuk Kamal Pasha Jamal merayu jumlah dikurangkan kerana tertuduh yang sudah berkahwin dan memiliki seorang anak menerima gaji RM3,000 sebulan.

Katanya, tertuduh juga tidak mempunyai alasan untuk melarikan diri kerana mempunyai keluarga selain berkemungkinan digantung kerja. Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dan menetapkan 10 Januari 2027 untuk sebutan semula kes.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN