Penulis bergambar dengan koala di Caversham Wildlife Park.

Meneroka keindahan alam dan hidupan liar di Perth

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ADA sesuatu yang istimewa apabila menyambut hari lahir jauh dari kesibukan rutin harian, apatah lagi destinasi yang dipilih itu menawarkan gabungan keindahan alam semula jadi, seni bina klasik, pantai memukau dan pengalaman mendekati hidupan liar.

Perth, ibu negeri Australia Barat, menjadi pilihan saya untuk percutian enam hari lima malam yang bukan sahaja memberi peluang berehat, malah membuka ruang meneroka sisi menarik bandar yang terkenal dengan suasana santai dan landskap semula jadinya.

Perjalanan saya bermula pada 21 Ogos 2026 dengan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Perth sebelum tiba sekitar pukul 1 pagi.

Penginapan di DoubleTree by Hilton Northbridge menjadi pilihan saya kerana lokasinya yang strategik, berhampiran kawasan pusat bandar (CBD) serta kemudahan pengangkutan awam, sekali gus memudahkan pergerakan sepanjang percutian.

Hari pertama di Perth dimulakan dengan sarapan di hotel sebelum berjalan-jalan menikmati suasana bandar.

Antara lokasi yang menarik perhatian saya ialah London Court, sebuah lorong beli-belah yang mempunyai seni bina klasik seakan-akan jalan di kota London.

Reka bentuk bangunan, jam besar dan deretan kedai kecil menjadikan kawasan itu cukup menarik untuk bergambar sambil menikmati suasana santai.

Perjalanan diteruskan ke Elizabeth Quay, kawasan tepi Sungai Swan yang menjadi antara lokasi tumpuan pelancong.

Pemandangan jambatan, bangunan moden dan perairan yang tenang memberikan gambaran tersendiri tentang keindahan bandar Perth.

Tidak lengkap kunjungan ke bandar itu tanpa singgah di Kings Park and Botanic Garden. Taman yang luas tersebut menawarkan pemandangan panorama bandar Perth dan Sungai Swan dari kawasan tanah tinggi.

Selain menjadi ruang rekreasi penduduk tempatan, taman berkenaan turut menampilkan kepelbagaian tumbuhan asli Australia Barat.

Masa selebihnya dimanfaatkan dengan meneroka beberapa kawasan sekitar pusat bandar termasuk Wolf Lane yang terkenal dengan seni mural jalanan, Murray Street, Hay Street dan Yagan Square.

Aktiviti membeli-belah turut menjadi sebahagian daripada pengalaman saya apabila berkunjung ke Chemist Warehouse, Kmart serta pasar raya Woolworths dan Coles untuk mendapatkan barangan keperluan dan makanan.

Watertown Brand Outlet pula menawarkan pilihan pakaian dan barangan berjenama pada harga lebih berpatutan.

Pengunjung berpeluang menunggang basikal elektrik untuk menjelajahi kawasan Rottnest Island.

Hari kedua membawa perjalanan saya ke Fremantle, sebuah bandar pelabuhan bersejarah yang terletak kira-kira 30 minit perjalanan dari pusat Perth menggunakan kereta api.

Kunjungan pada hujung minggu memberikan peluang meneroka Fremantle Markets yang menempatkan pelbagai gerai makanan, hasil seni, cenderamata dan produk tempatan.

Suasana di Fremantle ternyata berbeza daripada pusat bandar Perth. Bangunan bersejarah, jalan berbatu dan deretan kafe memberikan karakter tersendiri kepada kawasan tersebut.

Antara lokasi yang dikunjungi termasuk Fremantle Esplanade Park dan Fremantle Ferris Wheel sebelum menikmati hidangan tengah hari di Kailis Fishmarket Cafe yang terkenal dengan sajian makanan laut.

Bathers Beach pula menjadi lokasi persinggahan untuk menikmati pemandangan laut dan suasana pantai yang mendamaikan.

Bagi penggemar sejarah, kunjungan ke WA Shipwrecks Museum merupakan pengalaman yang tidak harus dilepaskan.

Menariknya, kemasukan ke muzium itu adalah percuma dan pengunjung berpeluang melihat koleksi artifak kapal karam, peninggalan sejarah maritim serta kisah pelayaran di perairan Australia Barat.

Pengalaman paling dinanti-nantikan tentunya lawatan sehari ke Rottnest Island pada 24 Ogos. Perjalanan bermula seawal pukul 6 pagi dengan menaiki kereta api dari Perth Station ke Fremantle sebelum berjalan ke terminal feri B Shed.

Haiwan quokka yang seolah-olah tersenyum menjadi tarikan utama pelancong.

Perjalanan feri selama kira-kira 30 minit membawa pengunjung ke pulau yang terkenal dengan pantai berpasir putih, air laut biru kehijauan dan haiwan unik bernama quokka.

Setibanya di pulau itu, basikal elektrik daripada Pedal and Flipper menjadi pilihan untuk meneroka kawasan sekitar dengan lebih mudah.

Dengan jarak kayuhan sekitar 15 hingga 18 kilometer, beberapa lokasi menarik berjaya dikunjungi dalam tempoh sehari.

Pinky Beach menjadi persinggahan pertama dengan pemandangan rumah api dan pantai yang cukup mempesonakan.

Perjalanan saya diteruskan ke The Basin, antara kawasan pantai popular di pulau itu yang terkenal dengan air laut jernih dan sesuai untuk aktiviti berenang.

Parker Point pula menawarkan panorama laut berwarna biru turquoise yang begitu cantik sehingga terasa seperti berada di pulau tropika.

Namun, Little Salmon Bay menjadi antara lokasi paling menarik untuk berehat, menikmati makanan tengah hari dan menghayati keindahan alam sekitar.

Sebelum kembali ke kawasan penempatan utama, perjalanan diteruskan ke Wadjemup Lighthouse yang terletak di kawasan lebih tinggi dan menawarkan pemandangan panoramik pulau.

Tidak lengkap kunjungan ke Rottnest Island tanpa melihat quokka, haiwan marsupial kecil yang menjadi tarikan utama pelancong.

Wajahnya yang seakan-akan tersenyum menjadikan haiwan itu popular sebagai subjek fotografi, namun pengunjung perlu mengelakkan daripada memberi makanan atau menyentuhnya.

Hari terakhir sebelum pulang ke Kuala Lumpur diisi dengan kunjungan ke Caversham Wildlife Park. Perjalanan menggunakan kereta api dari Perth Station ke Whiteman Park Station mengambil masa kira-kira sejam lima minit.

Taman hidupan liar itu menawarkan pengalaman lebih dekat dengan pelbagai haiwan asli Australia. Antara tarikan utamanya ialah koala, wombat dan kanggaru yang boleh dilihat dalam persekitaran lebih dekat berbanding pengalaman di zoo biasa.

Pengunjung juga berpeluang menyaksikan pertunjukan ladang, melawat Molly’s Farm serta melihat penguin.

Namun, pengalaman berjalan di kawasan kanggaru menjadi antara aktiviti saya yang paling menyeronokkan apabila haiwan tersebut bebas bergerak di sekitar pengunjung.

Selepas beberapa jam meneroka taman berkenaan, perjalanan kembali ke hotel dilakukan untuk urusan daftar keluar sebelum bertolak ke lapangan terbang pada sebelah malam.

Penerbangan pulang pada awal pagi 26 Ogos membawa kenangan percutian yang cukup bermakna.

Enam hari di Perth membuktikan bahawa percutian tidak semestinya dipenuhi aktiviti membeli-belah atau kunjungan ke mercu tanda terkenal.

Gabungan bandar moden, warisan sejarah, pantai indah dan pengalaman melihat hidupan liar menjadikan perjalanan itu cukup lengkap.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN