HARGA serendah RM5 mungkin kelihatan biasa, namun di LePark Kampung, Kampung Bunut Payong di Kota Bharu, Kelantan sepinggan pulut 4 beradik berjaya menjadi antara menu sohor yang membuatkan pelanggan sanggup datang semula.
Hidangan itu menghimpunkan empat jenis pulut iaitu pulut pagi, pulut hitam, pulut merah dan pulut kuning. Setiap satunya dipadankan dengan topping tersendiri bagi menghasilkan kombinasi rasa yang berbeza.
Pengusaha LePark Kampung, Syed Mohd. Farjeri Syed Zainal, 32, yang lebih mesra dipanggil Carrey berkata, keistimewaan pulut 4 beradik bukan sahaja terletak pada empat jenis pulut, malah cara penyediaannya bagi memastikan tekstur beras kekal cantik.
“Pulut pagi ialah pulut berwarna coklat yang biasanya dinikmati bersama kacang dan kelapa.
“Pulut hitam pula memang menggunakan beras pulut berwarna hitam dan kami hidangkan bersama sekaya, manakala pulut merah pula dimakan bersama inti kelapa yang disira.
“Untuk pulut kuning pula, kami padankan dengan serunding ikan dan serunding udang,” katanya ketika ditemui di LePark Kampung baru-baru ini.
Menurut Carrey, kesemua pulut berkenaan dimasak menggunakan kukusan buluh bagi memastikan beras pulut kekal panjang, cantik dan tidak mudah patah selepas dimasak.
“Kami menggunakan kukusan buluh kerana mahu pastikan beras kita comel, tidak patah dan kekal panjang selepas dimasak.
“Bagi kami, perkara itu penting kerana tekstur dan bentuk beras pulut turut mempengaruhi penampilan hidangan,” katanya.

Gabungan empat jenis pulut dengan padanan rasa berbeza itu menjadikan pulut 4 beradik antara menu yang mencuri perhatian pelanggan, khususnya penggemar sajian tradisional.
Selain pulut 4 beradik, pelanggan boleh memilih pelbagai menu sarapan dan hidangan utama termasuk nasi krutuk ayam kampung, nasi krutuk daging, nasi kerabu ayam bakar, nasi kerabu daging goreng, nasi gulai ayam dan nasi ikan keli goreng.
Carrey berkata, antara menu yang turut mendapat permintaan berulang daripada pelanggan ialah nasi ayam kampung, manakala nasi kerabu pula mempunyai keistimewaan tersendiri terutama penggunaan ikan yang banyak dalam penyediaan solok lada.
“Resipi di sini ada yang mendapat sentuhan masakan Thailand dan kami cuba kekalkan rasa yang dekat dengan selera orang Kelantan.
“Roti kukus dengan kaya pandan juga antara hidangan yang mempunyai peminat tersendiri,” katanya.
Menurut Carrey, LePark Kampung dibuka seawal 7 pagi, namun seawal 6.30 pagi pelanggan sudah mula beratur untuk mendapatkan sarapan.
Lebih menarik, perniagaan itu bermula daripada sebuah rumah terbiar di tepi jalan yang disewa sebelum diubah suai menjadi kedai makan.
“Konsep kami memang kampung. Kami tidak mahu nampak terlalu grand. Sebab itu dekorasi menggunakan elemen seperti daun buluh dan zink lama. Kami mahu pelanggan rasa seperti datang ke suasana kampung,” katanya.
Carrey yang memiliki Diploma Kosmetologi dari Bangkok berkata, dia tidak mengendalikan kerja memasak di dapur, sebaliknya lebih banyak memberi tumpuan kepada pemasaran dan pengurusan perniagaan.
“Saya tidak memasak sendiri tetapi lebih pandai buat pemasaran dan pengurusan. Saya banyak menggunakan platform TikTok menerusi akaun __carreyfarjery untuk mempromosikan perniagaan. Boleh dikatakan kira-kira 80 peratus pelanggan datang selepas melihat video yang kami hasilkan dan kongsikan di media sosial,” katanya.














