Terdapat beberapa hutan di atas muka Bumi ini yang usianya sangat tua sehingga menjangkau jutaan tahun.
Meskipun telah melalui perubahan iklim, geografi dan biodiversiti yang drastik, namun hutan-hutan ini kekal utuh bertahan.
Hutan-hutan ini sering digelar sebagai ‘muzium hidup’ kerana keupayaannya memelihara spesies tumbuhan dan haiwan sejak zaman prasejarah.
Namun, seiring dengan perubahan masa, hutan-hutan ini tetap terancam dengan pembangunan yang semakin pesat di seluruh dunia.
Pastinya, ia menjadi satu kerugian sekiranya hutan-hutan berusia jutaan tahun ini gagal dipelihara oleh kita untuk tatapan anak cucu pada masa depan.
Justeru minggu ini, CitaRasa senaraikan lima hutan tertua di dunia berdasarkan dapatan daripada portal, Times Entertainment.
1- Hutan Hujan Daintree, Australia (180 juta tahun)

Hutan ini dianggarkan berusia kira-kira 180 juta tahun dan dianggap sebagai hutan hujan tertua di dunia yang masih wujud.
Terletak di Queensland, Australia, ekosistem luar biasa hutan ini jauh lebih tua daripada hutan hujan Amazon dan dipercayai wujud sejak zaman dinosaur lagi.
Hutan ini menjadi habitat kepada pelbagai hidupan yang luar biasa, termasuk 12 daripada 19 keluarga tumbuhan berbunga primitif di Bumi.
Dengan tumbuh-tumbuhan yang tebal, flora purba dan hidupan liar yang sukar ditemui, Hutan Daintree kekal sebagai salah satu persekitaran semula jadi paling penting dari segi saintifik.
2- Hutan Hujan Tanah Pamah Borneo (140 juta tahun)

Hutan Hujan Tanah Pamah Borneo dipercayai berusia sekitar 140 juta tahun, meliputi pulau Borneo yang dikongsi oleh Malaysia, Indonesia
dan Brunei.
Hutan ini kekal sebagai salah satu tempat yang mempunyai kepelbagaian biologi paling tinggi di dunia dan antara penghuninya adalah orang utan Borneo.
Pokok-pokok menjulang tinggi serta kepelbagaian biologi di hutan hujan ini menjadikannya salah satu kawasan hutan belantara yang masih wujud di muka Bumi.
3- Taman Negara, Malaysia (130 juta tahun)
Dirujuk sebagai salah satu hutan hujan tropika tertua di dunia, Hutan Hujan Taman Negara, Malaysia dipercayai berusia lebih daripada 130 juta tahun.
Hutan berkenaan merentasi negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan. Ia menempatkan pelbagai jenis flora dan fauna dilindungi, termasuk spesies terancam seperti harimau Malaya, gajah Asia serta tapir.
4- Hutan Hujan Amazon (55 juta tahun)

Hutan Hujan Amazon telah wujud selama lebih 55 juta tahun dan merupakan hutan hujan tropika terbesar di Bumi.
Hutan ini meliputi banyak negara seperti Brazil, Peru, Colombia, Venezuela, Ecuador, Bolivia, Guyana, Suriname dan Guiana Perancis.
Hutan ini digelar sebagai ‘paru-paru Bumi’ kerana biodiversiti yang tiada tandingan, selain menjadi habitat kepada berjuta-juta jenis tumbuhan, haiwan dan serangga.
5- Hutan Hyrcanian, Azerbaijan (25-50 juta tahun)

Hutan Hyrcanian terletak di sepanjang pantai Laut Caspian di Iran dan sebahagian Azerbaijan. Ia dipercayai berusia antara 25 juta hingga 50 juta tahun.
Hutan hujan iklim sederhana yang subur ini merupakan saki-baki terakhir hutan berdaun lebar purba yang pernah mendominasi Hemisfera Utara. Pada hari ini, hutan tersebut dihargai kerana kepentingan ekologi dan kepelbagaian biologinya.














