Beberapa minggu lalu, penulis mengutarakan mengenai Malaysia yang sejak berpuluh tahun lalu kekal menjadi ‘syurga’ kepada pendatang asing. Hari ini, berdasarkan serbuan dan tangkapan di beberapa lokasi – jelas memperlihatkan aktiviti haram berkenaan tidak susut.
Pendatang asing tanpa izin (PATI) satu bahasa lunak yang memberikan gambaran seolah-olah masalah berkenaan cuma salah satu daripada masalah sosial negara. Namun, hakikatnya masalah berkenaan kini semakin membarah.
Kehadiran mereka kini bukan lagi masalah sosial biasa-biasa tetapi semakin hari semakin parah apabila mula menjarah tanah-tanah hak milik rakyat tempatan. Mereka menguasai beberapa sub-sektor ekonomi termasuk menjadi pekebun, peruncit, pembekal, kontraktor dan pemegang saham syarikat.
Mereka bukan lagi datang untuk bekerja sebagai buruh kasar tetapi kini menjadi rakan kongsi, malah sebilangan menjadi majikan pula kepada rakyat tempatan.
Semakin hari kehadiran mereka kian tidak terkawal. Mereka semakin berani mencabar kedaulatan negara dengan menceroboh sempadan tanpa rasa gentar dan takut. Jika sukar menerobos jalan tikus sama ada di darat dan air, mereka menggunakan wang ringgit sebagai umpan melepasi pegawai-pegawai penguat kuasa di pintu masuk lapangan terbang.
Kegiatan pemalsuan dokumen dalam kalangan cerdik pintar mereka juga seakan tidak berkesudahan. Tangkapan demi tangkapan terhadap sindiket langsung tidak menghentikan jenayah berkenaan.
Hari ini, rakyat tempatan semakin rimas dengan kehadiran PATI yang menguasai kawasan kediaman sehingga menjadikan mereka pula seperti tinggal di negara asing. Belum lagi disentuh isu penyebab kepada kesesakan di klinik dan hospital kerajaan serta membawa pelbagai penyakit berjangkit selain menanggung kos ubat dan kesihatan.
Kekal berterusan juga isu kerugian yang dialami oleh negara apabila kerajaan kehilangan hasil daripada levi pekerja asing, cukai, atau yuran permit yang sah. Tidak cukup itu terpaksa menampung pula kos operasi penguatkuasaan, serbuan, tangkapan, penahanan di depot imigresen, serta proses pengusiran.
Persoalan yang perlu dijawab ialah sampai bila anggota penguat kuasa kita terpaksa mengejar PATI ini saban hari seperti tidak berkesudahan.
Beban yang ditanggung oleh kerajaan (wang rakyat) untuk melaksanakan operasi ini bukan kecil kerana melibatkan agensi yang besar termasuk Maritim Malaysia, Agensi Kawalan dan
Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Jabatan Imigresen, polis, dan lain-lain sekali gus memperuntukkan sumber manusia dan logistik yang besar.
Jadi bagaimana cara menghentikan daripada berterusan? Selepas berpuluh tahun masalah berlaku, tiada cara atau jalan penyelesaiankah atau kita tidak ada ‘political will’ mencari satu titik noktah kepada masalah?
Sama seperti kes curi kabel yang semakin menjadi-jadi. Mengapa kegiatan tersebut sukar dibanteras? Jawapannya adalah jika tidak ada permintaan, tidak ada yang memberikan PATI ini pekerjaan, tidak ada yang memberikan mereka rumah dan perlindungan, tidak mungkin mereka sanggup bergolok gadai dan berkorban nyawa untuk datang ke negara ini.
Begitu juga kes curi kabel, jika tidak ada pihak yang bersedia membeli, memproses dan menjual semula pasti tidak ada yang mahu mencuri lagi.
Oleh itu, banteraslah tangan-tangan (kuasa) yang menjadi penyebab PATI begitu ghairah menceroboh masuk dan geng curi kabel yang semakin berani mengkhianati kemudahan awam waima secara terang-terangan.
Laksanakan undang-undang dan hukuman yang menginsafkan. Bukan sekadar denda dan penjara setahun dua. Jika kita tidak berani mengubah senario itu dari sekarang, maka bersedialah pihak penguat kuasa untuk mengejar PATI dan pencuri kabel sampai bila-bila…














