PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada melibatkan beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu sehingga Ahad ini.
MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan, penumpuan angin dijangka berlaku di timur Semenanjung sehingga 29 November sekali gus berpotensi membawa hujan berterusan di kedua-dua negeri berkenaan.
Menurutnya, analisis terhadap model-model ramalan cuaca menunjukkan keadaan itu berpotensi menyebabkan hujan berterusan di kawasan yang dikenal pasti.
“Amaran hujan berterusan tahap waspada melibatkan sembilan daerah di Kelantan iaitu Pasir Puteh, Bachok, Kota Bharu, Tumpat, Pasir Mas, Machang, Tanah Merah, Jeli dan Kuala Krai.
“Di Terengganu pula, amaran sama melibatkan seluruh negeri,” menurut kenyataan itu hari ini.
Sehubungan itu, orang ramai khususnya penduduk di kawasan terlibat dinasihatkan supaya sentiasa mengikuti perkembangan cuaca semasa menerusi saluran rasmi MetMalaysia.
Maklumat terkini boleh diperoleh melalui laman web rasmi MetMalaysia, aplikasi myCuaca serta platform media sosial jabatan berkenaan.
Orang ramai juga boleh menghubungi talian hotline MetMalaysia di 1-300-22-1638 bagi mendapatkan maklumat lanjut. – KOSMO! ONLINE














