Inspektor Sheila (kiri) dan Ayob Khan.

Dipecat bertugas: Inspektor Sheila dibenar cabar Ayob Khan, kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan bekas pegawai polis kontroversi, Inspektor Sheila untuk memulakan semakan kehakiman terhadap kerajaan dan bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay bagi mencabar pemecatannya berkait kesalahan tatertib.

Hakim S.Indra Nehru memutuskan demikian selepas Peguam Persekutuan Mohammad Solehheen Mohamad Zaki yang mewakili Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak membantah permohonan itu.

Sementara itu beliau ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Terdahulu Sheila atau nama sebenarnya Sheila Sharon Steven Kumar,38, memfailkan semakan kehakiman itu menerusi Tetuan M Manoharan & Co. pada 29 Oktober lalu.

Dalam permohonan semakan itu, Sheila selaku pemohon menamakan Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay selaku bekas Pengerusi Lembaga Tatatertib Polis Diraja Malaysia (PDRM) (ketika itu), Lembaga Tatatertib PDRM, suruhanjaya PDRM dan kerajaan masing-masing sebagai defendan pertama hingga keempat.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh, Sheila memohon deklarasi bahawa keputusan kesemua responden yang memecatnya kerana didakwa mempunyai 23 kesalahan tatertib menerusi dua surat Pemberitahuan Hukuman Tatatertib bertarikh 7 Julai 2026 yang diterimanya pada 3 Ogos lalu adalah tidak sah dan salah di sisi undang-undang.

Justeru beliau memohon perintah certiorari bagi membatalkan kedua-dua keputusan dan hukuman tatatertib terbabit.

Sheila turut memohon perintah mandamus bagi mengarahkan kesemua responden menerima, mengambil dan menempatkannya semula sebagai pegawai polis berpangkat Inspektor tanpa sebarang penurunan pangkat.

Selain itu, beliau menuntut supaya segala manfaat, kelayakan, tunggakan gaji, emolumen, elaun serta bonus dibayar semula bermula dari tarikh pembuangan kerjanya pada 3 Julai lalu sehingga beliau ditempatkan semula bertugas.

Dalam permohonan sama, wanita itu memohon perintah mandamus agar semua catatan mengenai keputusan dan hukuman tatatertib berkenaan dipadam serta dikeluarkan daripada rekod perkhidmatannya.

Beliau juga menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan yang akan ditaksirkan mahkamah berserta faedah pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Sementara itu, Sheila dalam afidavit sokongan antara menyatakan surat Pemberitahuan Hukuman Tatatertib dan dikatakan dikenakan hukuman Buang Kerja mengikut Peraturan 38(g) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 (Keputusan B) adalah batal, tidak sah, tiada efek, tiada kesan dan adalah salah di sisi undang-undang berdasarkan

“Keputusan responden-responden adalah tidak teratur, salah di sisi undang-undang, tidak munasabah, tidak wajar, memprejudiskan dan tidak adil langsung terhadap saya,” kata Sheila dalam afidavit sokongan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN