PETALING JAYA – “Untuk Attar, mama minta maaf!”
Demikian yang diluahkan pelakon dan usahawan, Wawa Zainal sedih selepas mengetahui anak sulungnya, Ahmad Fakhruddin Attar menjadi mangsa buli di sekolah.
Wawa atau nama sebenarnya, Nur Hawa Zainal Abidin, 35, mengesahkan anaknya dibuli selepas meneliti rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) membabitkan kejadian tersebut.
“Terima kasih kepada pihak pengurusan dan guru kerana mengambil tindakan pantas serta memandang serius isu buli melibatkan anak kami.
“Bila tengok semula rakaman CCTV, sebagai seorang ibu, luluh hati melihat apa yang anak sendiri lalui di sekolah.
“Maafkan mama kerana sebelum ini tidak mengambil tindakan selanjutnya setiap kali abang bercerita tangan selalu dipulas dan ditumbuk manja oleh kawan. Konon nak jadikan abang kuat untuk menghadapi kerasnya dunia,” katanya dalam satu hantaran Threads.
Isteri kepada aktor Aeril Zafrel itu turut mengingatkan golongan ibu bapa agar lebih peka memantau perkembangan anak-anak bagi membendung gejala negatif tersebut daripada terus menjadi lebih teruk.
“Semoga perkara ini menjadi pengajaran buat kita semua termasuk diri saya sendiri sebagai ibu bapa. Sama-sama kita lebih peka, mendengar dan memantau anak-anak.
“Bukan sahaja memastikan anak kita tidak menjadi mangsa buli, tetapi juga memastikan anak kita tidak menjadi pelaku buli. Didiklah anak-anak tentang empati, menghormati orang lain dan memahami batas dalam bergurau,” katanya lagi.
Menerusi hantaran itu juga, dia menegaskan bahawa perbuatan yang dianggap sebagai gurauan tidak seharusnya dipandang ringan kerana boleh menjejaskan keselamatan dan emosi pelajar.
“Apa yang dianggap gurauan oleh seseorang kadang-kadang sebenarnya sudah melebihi batas!
“Semoga ibu bapa dan pihak sekolah terus berganding bahu dalam membendung budaya buli serta mewujudkan persekitaran yang selamat untuk anak-anak kita.
“Setiap kanak-kanak berhak untuk berasa selamat, dihormati dan dilindungi di sekolah,” jelasnya.
Baru-baru ini, Wawa mendedahkan anak lelakinya pernah menjadi mangsa buli rakan sekolah.
Namun Aeril pada awalnya menganggap perbuatan berkenaan sebagai gurauan biasa dalam kalangan kanak-kanak lelaki selain berpendapat anak mereka perlu belajar berhadapan dengan cabaran kehidupan. – KOSMO! ONLINE














