PELAKON Haidar Hasanuddin memilih untuk menutup kisah peribadi bagi menjaga privasi diri dan keluarganya daripada terkait kontroversi dunia hiburan yang tidak terjangka.

‘Takkan kongsi hal peribadi’ – Haidar Hasanuddin mohon prinsip dihormati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Populariti tidak sedikitkan mengubah pendirian pelakon Haidar Hasanuddin untuk menjadi terbuka, sebaliknya kekal menutup pintu tidak urusan peribadi kepada umum demi melindungi privasi ahli keluarga daripada terkena tempias kontroversi dunia hiburan.

Menurut Haidar, 37, sejak melangkah masuk ke dalam industri seni, dia sudah meletakkan sempadan jelas antara kerjaya lakonan dengan kehidupan peribadi, termasuk kandungan yang dikongsikan dalam platform media sosial.

“Sejujurnya, apabila saya membuat keputusan untuk berada dalam industri seni, saya pilih untuk memberikan sepenuh komitmen kepada bidang lakonan.

“Saya memang menetapkan pendirian untuk tidak mendedahkan hal peribadi, sama ada membabitkan keluarga atau perkara lain.

“Saya mahu kerjaya dan media sosial saya hanya tertumpu kepada projek atau karya yang sedang saya jayakan, bakal ditayangkan atau sedang ditayangkan.

“Bagi hal peribadi, saya tetap berpegang kepada prinsip untuk tidak berkongsi atau mempamerkannya kepada umum, bukan sahaja demi diri sendiri, tetapi juga bagi menghormati perasaan dan kepentingan pihak lain,” katanya ketika ditemui pada sidang media drama terbitan Viu Original, Wali Dalam Tangisan di LMP Events Hall di sini, semalam.

Berkongsi lanjut, pelakon drama Cinta Dalam Sekam itu memaklumkan dunia seni sentiasa terdedah dengan pelbagai spekulasi yang sukar dijangka, sekali gus mendorongnya untuk lebih berhati-hati agar orang tersayang tidak menjadi mangsa keadaan.

“Apabila kita bercerita mengenai hal peribadi termasuk keluarga sendiri, saya tidak mahu mereka turut terkena tempias sekiranya berlaku sesuatu perkara.

“Dalam industri ini, kita tidak boleh lari daripada kontroversi. Hari ini mungkin semuanya baik-baik sahaja, tetapi saya tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Haidar berharap orang ramai serta peminat dapat menghormati batasan tersebut dan terus menyokong perjalanan kariernya berdasarkan kualiti karya semata-mata.

“Saya memohon semua pihak menghormati keputusan saya untuk terus mengekalkan pendirian itu. Bagi saya, privasi tetap privasi dan itu juga hak saya.

“Sebagai seorang pelakon atau individu yang bekerja di hadapan kamera, saya harap semua pihak dapat menghormatinya kerana saya juga perlu menjaga keluarga masing-masing,” jelasnya.

Sebelum ini, Haidar dikenali dengan karakter Syafiq dalam drama Cinta Dalam Sekam.

Sejak itu, peminat mula mengambil tahu mengenai latar belakangnya termasuk cuba mengorek kisah mengenai kekasih hatinya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN