JEMPOL – Seorang lelaki warga emas ditemukan meninggal dunia di dalam longkang di hadapan sebuah rumah di Taman Meranti, di sini, malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Norhisham Mustapar berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mayat kira-kira pukul 8.50 malam selepas seorang wanita berusia 40an datang ke Balai Polis Bahau untuk membuat aduan.
Menurutnya, wanita berkenaan memaklumkan terdapat seorang lelaki tidak dikenali berada di dalam longkang di hadapan rumahnya.
“Pemeriksaan awal di lokasi kejadian menemukan dompet dan kad pengenalan milik mangsa sebelum identitinya dikenal pasti sebagai seorang lelaki berusia 66 tahun yang menetap di Kampung Indah, Bahau,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Beliau berkata, bedah siasat dijalankan di Hospital Jempol pada pukul 1 tengah hari dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah akibat penyakit jantung.-KOSMO! ONLINE














