KISAH seorang pengurus artis ini, yang kalau Diva petik sahaja namanya, pasti mendunialah yang mengiakan sikap toksiknya, semakin menjadi-jadilah pula.
Mentang-mentang artis jagaannya tengah banyak permintaan dan ‘lemak berkrim’ disukai ramai.
Diva sendiri dah tahu sejak lama perangainya begitu, cuma baru-baru ini sahaja ada kenalan dalam industri sudah tidak dapat menahan mulut, habis dibukanya pekung pengurus artis terbabit.
Kata kenalan Diva itu, pengurus berwajah talam dua muka itu tak boleh sekadar duduk-duduk bertenang setiap kali hadir ke acara hiburan, ada sahaja yang hendak diremehkannya, serba tak kena, baik lagu, pakaian dan persembahan artis artis lain. Artis dia sajalah yang elok.
Geram sebab tak kuasa nak melayan, kenalan Diva dan kawan-kawan sealiran memang takkan berlama-lama kalau si pengurus serba berangan itu ada bersama mereka, terus ditinggalkan dengan apa sahaja alasan logik. Bingitlah asyik mengata dulang paku serpih kerjanya.
Nasihat Divalah, kalau nak artis jagaan terpelihara dan kekal disenangi industri bukannya hanya peminat dalam TikTok, si pengurus pun kena pandai bawa diri.
Dengarnya sekarang, artis-artis lain pun sudah buat muka kalau terserempak dengan pengurus terbabit.
Padan muka, tapi kasihanlah dengan artis jagaannya, harap cepatlah sedar diri.
DIVA: Kasihan dengan Uqasha Senrose, pantang sahaja dia mengkritik tindakan Kamal yang buat dia terasa, dia pula yang seperti menyerah diri ke kandang harimau, semua pakat terkam kecam. Seksa hidup asyik kena kutuk saja.














