PETALING JAYA – Beberapa kenderaan dipercayai mengalami kerosakan selepas ditimpa struktur dari sebuah tapak pembinaan berhampiran pusat beli-belah Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam.
Kejadian itu turut menyaksikan seorang wanita dilaporkan menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) selepas kereta e-hailing yang dinaikinya bersama seorang lagi ahli keluarga terkena objek yang jatuh dari tapak pembinaan berkenaan.
Menerusi rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang dikongsikan pengguna Threads, @chhmpkeln, kelihatan beberapa kenderaan berada di laluan bersebelahan tapak pembinaan sebelum struktur bersama jaring keselamatan berwarna hijau tiba-tiba runtuh.
“Dugaan hari ini (semalam). Kepada sesiapa yang hendak melalui kawasan Pavilion Bukit Jalil, sila berhati-hati, sebelah tapak pembinaan itu,” katanya.
Dalam pada itu, seorang pengguna Threads, @adizzyan turut mendakwa ibu dan adiknya berada di dalam sebuah kereta e-hailing jenis Proton Saga berwarna merah yang terlibat dalam kejadian tersebut.
“Ada sesuatu jatuh terkena adik dan mak saya di dalam kereta Grab merah. Bukan ketika meletakkan kenderaan, tetapi ketika kereta bergerak hendak keluar.
“Terkena di kawasan pembinaan Pavilion Bukit Jalil. Mak saya masih di HUKM, tolong, nak buat apa ini,” katanya.
Beberapa gambar yang dikongsikan di media sosial turut memaparkan keadaan kenderaan yang mengalami kerosakan termasuk cermin belakang pecah serta bahagian bumbung dan but kereta kemek.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna meluahkan kebimbangan terhadap tahap keselamatan pengguna jalan raya yang melalui kawasan bersebelahan tapak pembinaan tersebut.
“Depan mata, terkejut kami tadi memikirkan orang di kawasan bawah itu, yang atas sekali jatuh,” kata @srhhshmmm.
“Allahuakbar, semoga mangsa sembuh segera dan mendapat pampasan sewajarnya,” komen @lmeoarne. – KOSMO! ONLINE














