Anwar bersama Dr. Zulkifli serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh melihat replika masjid pada Majlis Pelancaran Projek Pembinaan Masjid Warisan di Jalan Davis, Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON/KOSMO!

Masjid Warisan angkat identiti Melayu-Islam, mercu tanda baharu Kuala Lumpur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Masjid Warisan yang bakal dibangunkan dengan anggaran kos RM70 juta di Jalan Davis di sini bakal menjadi mercu tanda baharu yang mengangkat identiti dan seni bina warisan Melayu-Islam di tengah-tengah pembangunan moden ibu negara.

Projek yang diterajui Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) itu diluncurkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, melibatkan tapak seluas 4.6 ekar bersebelahan kawasan pembangunan Tun Razak Exchange (TRX).

Berteraskan konsep Masjid Dalam Taman, masjid warisan pertama di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu dirancang mampu menampung sehingga 4,500 jemaah pada satu-satu masa.

Selain menjadi mercu tanda warisan Melayu-Islam, masjid berkenaan turut dirancang sebagai pusat ibadah, penyebaran ilmu, aktiviti keagamaan dan pembangunan komuniti sekali gus dijangka memanfaatkan penduduk setempat serta masyarakat sekitar Bukit Bintang dan TRX.

Anwar berkata, pembinaan Masjid Warisan itu bukan sekadar pembangunan infrastruktur keagamaan, sebaliknya perlu menjadi tonggak pembangunan masyarakat serta melambangkan keindahan warisan Islam dan budaya Melayu.

“Mendirikan masjid itu bukan sekadar membina infrastruktur. Mendirikan masjid itu mesti berteraskan kepada niat yang baik dan cita-cita untuk mengangkat martabat umat dengan keluhuran jiwa dan keikhlasan.

“Masjid diasaskan kerana ketakwaan kita, bukan kerana kemegahan, bukan kerana mempamerkan hebatnya kita, tetapi kerana dorongan menjadikan ini sebagai simbol ketakwaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Projek Masjid Warisan di sini, hari ini.

Anwar ketika merasmikan Projek Pembinaan Masjid Warisan sambil diperhatikan oleh Dr. Zulkifli, Hannah Yeoh dan Pengerusi MAIWP, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer di Jalan Davis, Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON/KOSMO!

Menurut Anwar, pembangunan masjid berkenaan perlu menggabungkan kemajuan teknologi moden dengan aspek kelestarian alam sekitar tanpa mengabaikan identiti dan khazanah warisan negara.

“Saya bangga walaupun tengok sangat singkat tentang apa yang dipamerkan dan contoh reka bentuk dan seni bangunan ini. Anak-anak (mahasiswa UIAM) itu kalau diberikan peluang kesempatan, (mereka) tahu apa teknologi baru, tahu apa dia tentang persekitaran, tahu tentang ekologi, tahu tentang hijau, tetapi dia juga tahu tentang warisannya.

“Jadi, yang diperkenalkan sedikit itu konsepnya apa dia? Moden dia (Masjid Warisan) teknologi baharu, (dalam masa yang sama) tetapi ia juga serasi dengan sekitarnya. Dia juga pertahankan keindahan warisannya, warisan Islamnya dan warisan Melayunya dan negara kita, Malaysia tercinta. Kita nak hebat masjid ini, tapi ada budaya pengisiannya. Itu yang penting,” katanya.

Masjid Warisan mengetengahkan konsep seni bina Melayu-Islam lestari menerusi reka bentuk bumbung bertingkat, serambi terbuka serta bukaan berlapis bagi membolehkan pengudaraan semula jadi.

Pembinaannya turut menggabungkan penggunaan bahan tempatan seperti kayu keras, batu semula jadi dan bata tanah liat dengan teknologi binaan moden.

Antara kemudahan yang bakal disediakan termasuk dewan solat utama dan limpahan, menara, ruang serbaguna, bilik kuliah, bilik pengurusan jenazah serta kemudahan tempat letak kenderaan.

Bagi merealisasikan projek berkenaan, peruntukan RM4.1 juta bagi kerja-kerja awalan telah diluluskan di bawah Rolling Plan 2 (RP2) Tahun 2027, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), dengan peruntukan permulaan sebanyak RM500,000 bagi tahun depan.

MAIWP turut menjalinkan kerjasama dengan Kulliyyah of Architecture and Environmental Design (KAED), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menerusi pertandingan reka bentuk yang melibatkan 70 mahasiswa bagi mengetengahkan kreativiti dalam seni bina masjid berteraskan warisan Melayu-Islam.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, pembangunan Masjid Warisan mempunyai makna yang cukup besar dalam usaha mempertahankan syiar Islam serta memastikan warisan Melayu-Islam terus mendapat tempat dalam landskap pembangunan ibu negara.

“Di tengah-tengah kesibukan kota Kuala Lumpur dengan kehidupan masyarakat yang semakin mencabar, kita memerlukan sebuah ruang yang mendamaikan.

“Saya berharap Masjid Warisan ini kelak menjadi tempat ramai yang akan mencari ketenangan setelah penat bekerja,” katanya.

Beliau turut berharap agar tanggungjawab yang digalas MAIWP dalam membangunkan masjid berkenaan dilaksanakan dengan penuh amanah dan kesungguhan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN