Anwar ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Pembinaan Masjid Warisan, di Jalan Davis, hari ini. Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON

Negara tidak akan miskin kerana bantu orang miskin – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Sesebuah negara tidak akan menjadi miskin kerana membantu golongan kurang berkemampuan, sebaliknya ketamakan, kerakusan kuasa dan amalan rasuah menjadi punca keruntuhan sesebuah negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiada sebab untuk mana-mana pihak berasa bimbang dengan tindakan kerajaan menyalurkan pelbagai bantuan bagi membela nasib rakyat.

Katanya, ia termasuk pelaksanaan bantuan seperti Sumbangan Asas Rahmah, Sumbangan Tunai Rahmah dan subsidi petrol RON95.

“Takut-takut nanti kerajaan belanja banyak, negara jadi miskin. Belum pernah kita baca satu karya, satu sejarah di mana sang raja ataupun khalifah, negara itu jadi miskin sebab dia tolong orang miskin. Tak pernah berlaku.

“(Sebaliknya) kerana tamak haloba, kerana kerakusan kuasa, kerana amalan sakau-menyakau, kerana rasuah yang menular, ini yang menyebabkan negara itu runtuh. Tidak pernah berlaku negara itu runtuh kerana pimpinan dan negara itu menolong orang miskin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Projek Masjid Warisan di Jalan Davis, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Anwar mengingatkan agar keghairahan mengejar kemajuan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan tidak menyebabkan nasib golongan miskin serta masyarakat terpinggir dilupakan.

“Kalau kita bicara soal pembangunan AI dan teknologi moden, pendigitalan, teknologi peralihan, tetapi kita lupa bahawa masyarakat itu ada kelompok masyarakat terpinggir dan miskin yang memerlukan kerjasama dan bantuan.

“Sementara teknologi moden dan yang canggih itu perlu, tetapi paksi keimanan, akhlak dan nilai itu harus ada,” katanya.

Anwar turut menegaskan bahawa usaha membela nasib golongan miskin tidak seharusnya terbatas kepada umat Islam semata-mata, sebaliknya merangkumi masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.

“Dalam Islam itu, keterangkuman, semangat karamah insaniah itu dipertahankan kerana harus jadi contoh yang baik.

“Bagaimana mungkin kita jadi contoh yang baik kalau kita gunakan segala kebebasan sekarang mencela, menghina kerana warna kulit, kerana fahaman agama, kerana beda budaya? Sampai bila Islam ini boleh tertegak sebagai contoh yang boleh dikagumi oleh masyarakat?” katanya.

Sementara itu, Masjid Warisan yang bakal dibina berhampiran Tun Razak Exchange (TRX) dengan anggaran kos RM70 juta itu mampu menampung seramai 4,500 jemaah pada satu-satu masa.

Projek di atas tanah seluas 1.88 hektar itu mengetengahkan konsep seni bina Melayu-Islam lestari dengan menggabungkan elemen tradisional dan teknologi pembinaan moden.

Masjid berkenaan juga bakal berfungsi sebagai pusat dakwah, mercu tanda nasional serta tarikan pelancongan budaya dan agama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN