PETALING JAYA – Tindakan seorang suami yang tiba-tiba melafazkan rujuk kepada isterinya, sehari sebelum tempoh idah tamat mengundang persoalan mengenai hukum rujuk dalam kalangan masyarakat.
Isu itu menjadi perhatian selepas babak Haris melafazkan rujuk terhadap Zara dalam drama Suamiku Anak Mak mengundang rasa geram penonton yang mengikuti konflik rumah tangga pasangan berkenaan.
Menerusi perkongsian pengguna Threads, @tun_nafis, situasi suami yang tiba-tiba mahu merujuk isteri selepas wanita itu mula membina kehidupan baharu bukan sekadar berlaku dalam drama, malah turut terjadi dalam kes sebenar di Mahkamah Syariah.
Menurut perkongsian itu, dari sudut hukum, lafaz rujuk yang jelas ketika isteri masih dalam tempoh idah talak raj’ie boleh dikira sah walaupun isteri tidak bersedia atau tidak bersetuju.
Bagaimanapun, perkara yang sering terlepas pandang ialah rujuk tidak boleh dilakukan dengan niat untuk memudaratkan atau menyusahkan isteri.
Justeru, walaupun ikatan perkahwinan kembali bersambung melalui rujuk yang sah, tindakan tersebut tetap berdosa sekiranya dilakukan dengan niat menyakiti atau menzalimi isteri.
Sekiranya rumah tangga masih memudaratkan atau suami mengabaikan tanggungjawab nafkah, isteri juga masih mempunyai hak untuk memohon fasakh.
Menjengah ke ruangan komen, pengguna @azz.light berpendapat urusan berkaitan perkahwinan dan perceraian tetap memerlukan pengesahan mahkamah bagi memastikan status perkahwinan jelas dari sudut undang-undang.
“Ya lah semua benda pun kena rujuk mahkamah juga. Yang kahwin lari ke negara lain pun dan sah, mesti kena ulang-alik ke mahkamah untuk pengesahan semula,” katanya.
Seorang lagi pengguna @_rdnx01 berkongsi pengalaman rakannya yang pernah bekerja di Mahkamah Syariah selama lima tahun sebelum mengambil keputusan meninggalkan kerjaya tersebut.
“Saya ada seorang kawan yang dulu kerja di mahkamah. Tapi dia berhenti selepas lima tahun. Bila saya tanya kenapa, dia cakap sebab makin hari dia makin takut untuk kahwin, sebab macam-macam kes,” ujarnya.
Perkongsian tersebut sekali lagi mengingatkan orang ramai bahawa hak rujuk bukan ruang untuk suami bertindak sesuka hati, sebaliknya perlu dimanfaatkan bagi memperbaiki hubungan dan membina semula rumah tangga. – KOSMO! ONLINE














