Tangkap layar video pendakwa bebas (kiri) ditemu bual seorang hos (kanan) dalam satu program podcast disiarkan di YouTube.

‘Entah ustaz mana kau jemput datang podcast’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang pendakwah bebas dikritik orang ramai berhubung kenyataannya berkait isu isteri taat kepada suami, sewaktu dijemput pada satu program audio siar atau podcast ditayangkan di YouTube.

Menerusi salah satu potongan video daripada program itu, pendakwah bebas itu didakwa berkata, seorang isteri perlu taat kepada suaminya biarpun pasangan itu dianggap ‘jahat’ atau ‘zalim’.

“Isteri walaupun sejahat mana suami itu, sezalim mana pun suami, taat nombor satu. Suami kaki judi, kaki arak, kaki terajang, taat yang utama. Kadang-kadang benda ni akan jadi satu benda orang marah.

“Tapi jangan lupa, pernah berlaku kepada Asiah Muzahim yang mentaati kepada suaminya Firaun. Ada satu masjid (ceramah) saya kata, ‘taat lah suami sebab Asiah pun taat kepada Firaun, takkanlah kita nak masuk neraka sebab tak taat suami’.

“Mak cik ni jawab, ‘tak pe ustaz, saya ke neraka pun tak pe’. Geram sangat dengan suami. Ya saya faham kalau kita tak boleh tahan dengan suami, tak perlu pun kita lawan, tinggi suara balas apa dia buat.

“Pergi ke mahkamah, pergi ke polis, kita buat apa yang kita ada. Tapi kita jaga taat dengan suami itu sangat penting yang diamanahkan dan diarahkan oleh Allah SWT,” katanya.

Bagaimanapun, kenyataan pendakwah itu mendapat pelbagai maklum balas termasuk ada yang mengkritiknya supaya tidak memberikan perbandingan dengan situasi antara Asiah dan suaminya Firaun.

“Maaflah ya, entah ustaz mana yang kau jemput datang podcast, lepas itu boleh kata isteri kena taat walaupun suami itu kaki judi atau kaki pukul. Lepas itu boleh pula bagi contoh Firaun dengan Asiah. Haih, sumpah mengarut. Daripada kau buka topik mengarut, lebih baik cakap tentang hukum menzalimi atau menganiaya isteri,” kata seorang pengguna Threads mengecam kenyataan pendakwah bebas tersebut.

“Zaman dah moden, majoriti orang dah tahu dah macam mana Firaun melayan Asiah punya baik. Apa yang isteri dia nak semua dapat,” kata individu lain pada Threads.

Dalam masa sama, seorang peguam syarie, Aiman Zulkifli turut memberikan pandangannya berhubung isu isteri taat kepada suami.

“Kena faham konteks taat. Isteri kena taat dalam apa jua arahan suami yang tidak bercanggah dengan hukum syarak walaupun suami tu perangai mengalahkan iblis.

“Tapi jika sampai jadi punching bag (lepaskan marah) suami, isteri berhak keluar dari rumah kelamin walaupun suami tak izinkan. Dalam keadaan ini tak perlu taat kerana ada unsur dharurat.

“Bukanlah kata kalau suami jahat, lepas tu suami suruh buat sesuatu yang tak bercanggah dengan syarak isteri tak perlu taat. Ni salah sebab arahan suami bukan kepada yang mungkar,” katanya.

Beliau berkata, isteri perlu membezakan sama ada taat yang diminta oleh suami itu terhadap perkara yang dibolehkan oleh hukum syarak atau perkara dilarang oleh hukum syarak.

“Misalnya suami tu kaki botol, kaki perempuan dan segala kakilah, tapi arahannya pada isteri untuk pakai tudung bila keluar rumah. Adakah isteri boleh kata untuk tak taat sebab suami tu jahat? Jawapannya tidak, sebab tetap kena taat pada arahan suami kerana arahan yang sah di sisi syarak,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN