PETALING JAYA – Orang ramai yang merancang untuk melancong ke luar negara disarankan mendapatkan suntikan vaksin influenza dan pneumokokal mengikut kesesuaian serta nasihat doktor sebagai salah satu langkah mengurangkan risiko jangkitan yang boleh menyebabkan pneumonia.
Perkara itu mendapat perhatian susulan pemergian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) RareTV, Allahyarham Muhammad Akhmal Asyraf Mohd yang meninggal dunia di sebuah hospital di Muscat, Oman selepas ditidurkan akibat jangkitan paru-paru.
Pneumonia atau radang paru-paru merupakan keradangan pada paru-paru yang lazimnya disebabkan oleh jangkitan bakteria atau virus, selain boleh berpunca daripada jangkitan kulat dan parasit dalam sesetengah kes.
Menerusi perkongsian pengguna @klinikharmoni.kualaketil di Threads, terdapat beberapa langkah pencegahan yang boleh diamalkan bagi mengurangkan risiko penyakit tersebut.
Antaranya termasuk mendapatkan vaksin influenza atau pneumokokal mengikut kesesuaian serta nasihat doktor.
Selain itu, orang ramai turut disarankan mengamalkan pemakanan sihat dan seimbang, melakukan aktiviti fizikal secara berkala, menjalani gaya hidup sihat serta mengelakkan tabiat merokok dan pengambilan alkohol bagi menjaga kesihatan paru-paru.
Dalam pada itu, golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak kecil, warga emas dan individu yang mempunyai masalah kesihatan tertentu perlu lebih peka terhadap tanda-tanda jangkitan pernafasan.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mengabaikan gejala yang dialami dan mendapatkan pemeriksaan doktor sekiranya mengalami masalah kesihatan berkaitan pernafasan.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Allahyarham Akhmal meninggal dunia di sebuah hospital di Muscat, Oman malam tadi selepas mengalami demam dan jangkitan paru-paru sehingga menyebabkan kesukaran bernafas.
Allahyarham sebelum itu berada di Oman bagi menjalani penggambaran program Kembara Wahyu Ramadan 2027 dan dilaporkan ditidurkan sebelum menghembuskan nafas terakhir pada pukul 6.58 petang waktu Oman, semalam. – KOSMO! ONLINE














