Ismail ditemui selepas Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta penyampaian watikah pelantikan kepada enam Exco baharu di Istana Besar Seri Menanti, hari ini.

Mesyuarat Exco Negeri Sembilan dua kali seminggu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA PILAH – Mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan akan diadakan sekurang-kurangnya dua kali seminggu bermula Selasa depan bagi mempercepatkan penyelesaian pelbagai urusan pentadbiran negeri yang tertangguh hampir dua bulan.

Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berkata, mesyuarat Exco akan diadakan pada setiap Selasa dan Khamis sebagai langkah mempercepatkan proses membuat keputusan serta menyelesaikan kertas-kertas yang tertunggak.

Menurutnya, beliau juga tidak menolak kemungkinan mesyuarat berkenaan diadakan lebih kerap sekiranya perlu bagi memastikan segala urusan pentadbiran negeri dapat dilaksanakan dengan segera.

“Seperti kita sedia maklum, sudah hampir dua bulan tiada mesyuarat Exco. Banyak kertas yang tertangguh dan sebahagian besarnya melibatkan kepentingan rakyat.

“Insya-Allah, seawal minggu depan saya akan tetapkan mesyuarat Exco pada Selasa dan begitu juga Khamis. Mungkin kita akan buat lebih kerap lagi supaya dapat menyelesaikan tunggakan yang berlaku sekarang,” katanya selepas Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta penyampaian watikah pelantikan kepada enam Exco baharu di Istana Besar Seri Menanti, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN