KUALA PILAH – Selepas 68 hari tanpa barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), enam Exco baharu Negeri Sembilan mengangkat sumpah jawatan di Istana Besar Seri Menanti, di sini hari ini.
Kesemua mereka mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dalam istiadat yang dijadualkan bermula pukul 10.45 pagi.
Pelantikan kali ini menyaksikan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN) serta masing-masing seorang wakil Pas dan Wawasan menganggotai barisan pentadbiran kerajaan negeri.
Empat ADUN daripada BN ialah Suhaimi Aini (Kota), Datuk Mohd. Zaidy Abdul Kadir (Jeram Padang), Mohamad Qayyum Abd Jalil (Senaling) dan Koh Kim Swee (Repah).
Turut dilantik ialah ADUN Gemas, Ridzuan Ahmad, daripada Wawasan dan ADUN Bagan Pinang, Abdul Fatah Zakaria daripada Pas.
Pelantikan tersebut menyaksikan pembentukan semula barisan pentadbiran kerajaan negeri dengan Datuk Ismail Lasim kekal menerajui kepimpinan sebagai Menteri Besar.
Barisan pentadbiran kali ini turut menyaksikan pengurangan jumlah Exco daripada 10 kepada enam orang. -KOSMO! ONLINE














