Makan di restoran yang tidak mempunyai logo halal sama ada di pusat beli-belah mahupun di tepi jalan adalah diharuskan. – Gambar hiasan

Hukum makan di restoran tiada logo halal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Mohon penjelasan, bolehkah makan di restoran-restoran viral di pusat beli-belah yang tidak ada logo halal tetapi ramai orang Melayu makan?

JAWAPAN: Hukum mencari yang halal adalah wajib. Namun begitu, makan di restoran yang tidak mempunyai logo halal sama ada di pusat beli-belah, mahupun di tepi jalan adalah diharuskan selagi makanan tersebut diyakini tidak mengandungi bahan haram dan proses penyediaannya menepati kehendak syarak.

Sekiranya terdapat keraguan berkenaan status halal makanan tersebut, maka perlu ditinggalkan dan mencari restoran makanan halal lain.

Bagaimanapun, dinasihatkan agar memilih restoran yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang dikeluarkan oleh pihak berautoriti tempatan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) bagi mengelakkan sebarang keraguan dan syubhat.

Umat Islam perlu mengambil berat berkenaan status halal dan haram sebelum memilih sesuatu makanan atau minuman. Mencari yang halal merupakan satu kewajipan bagi setiap Muslim berdasarkan sabda Rasulullah SAW berikut: “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Allah itu baik, tidak menerima melainkan yang baik. Sesungguhnya Allah telah memerintahkan kepada orang mukmin dengan apa yang telah diperintahkan kepada para rasul.

Firman Allah: “Wahai para rasul, makanlah daripada benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal soleh; sesungguhnya Aku Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.”

Firman Allah juga: “Wahai orang yang beriman, makanlah daripada benda-benda yang baik (halal) yang telah kami berikan kepada kamu.”

Kemudian, Rasulullah SAW menceritakan keadaan seorang lelaki yang telah merantau jauh, kusut masai dan berdebu, sambil menadahkan kedua-dua tangannya ke langit (berdoa):

“Ya Tuhanku, Tuhanku,” sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram. Oleh yang demikian, bagaimana doanya akan dimakbulkan?” (Riwayat Muslim)

Status halal bagi sesuatu makanan atau minuman boleh ditentukan melalui bahan yang terkandung dalam penghasilan.

Selagi makanan atau minuman tersebut diyakini tidak menggunakan sebarang bahan yang haram, maka ia dihukumkan halal.

Antara ciri-ciri makanan yang halal dimakan adalah haiwan yang telah disembelih secara syarak serta tidak mengandungi sebarang campuran khinzir, lemak, gelatin atau daging daripada haiwan yang tidak disembelih secara syarak. Begitu juga makanan lain yang tidak berunsurkan arak.

Justeru, sebagai pengguna dan pelanggan, kita wajib mengambil maklum berkenaan bahan yang digunakan dalam penyediaan makanan atau minuman, dan memastikan tiada sebarang bahan yang haram dimakan.

Selain itu, status halal bukan sahaja dilihat berdasarkan bahan yang terkandung dalam makanan tetapi juga diambil kira tahap kebersihan, baik dan selamat selari dengan kaedah halalan toyyiban iaitu halal lagi baik.

Ini berdasarkan firman Allah SWT: “Dan makanlah daripada rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik, dan bertakwalah kepada Allah yang kepada-Nya sahaja kamu beriman.” (Surah al-Ma’idah: 88)

Oleh yang demikian, makanan dan minuman tersebut perlu dipastikan halal lagi baik dan proses penyediaannya menepati kaedah yang ditetapkan oleh syarak, walau siapa sahaja yang menyediakannya sama ada beragama Islam mahupun tidak.

Sebarang makanan yang berkemungkinan bercampur penyediaan dengan makanan tidak halal adalah diragui kehalalannya dan perlu ditinggalkan serta berusaha mencari makanan halal yang lain.

Kesimpulannya, makan di restoran yang tidak mempunyai logo halal sama ada di pusat beli-belah mahupun di tepi jalan adalah diharuskan selagi makanan tersebut diyakini tidak mengandungi bahan haram dan proses penyediaan menepati kehendak syarak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN