Luluh hati Tan Chiew Mei tatkala mengetahui dia menghidap kanser payudara beberapa tahun lalu.
Sepanjang malam, dia menangis mengenangkan nasib dirinya yang sedang hamil anak kedua dan mempunyai seorang lagi anak perempuan yang masih kecil di rumah. Dia runsing memikirkan siapa yang akan menjaga anak perempuannya nanti jika dia sudah tiada lagi di dunia.
Selepas itu, dia memutuskan menumpukan perhatiannya kepada dua perkara: “Saya mahu mendapatkan rawatan dan saya mahu meneruskan kehamilan.”
Ketika itu, Chiew Mei berusia 37 tahun dan menyedari adanya ketulan keras pada payudaranya. Dia ingat lagi betapa leganya selepas menjalani ujian ultrabunyi yang pertama. Namun, pemeriksaan susulan dua minggu kemudian mendapati ketulan tersebut semakin membesar dan sampel tisu diambil untuk biopsi.
Hasil diagnosis menunjukkan ia adalah kanser payudara ‘triple-negatif’, jenis kanser yang paling dia takuti selepas membaca mengenainya di internet.
Kemoterapi dimulakan beberapa hari selepas diagnosis. Dengan janji temu yang datang silih berganti dan keputusan yang perlu dibuat segera, dia menumpukan perhatian pada menjalani rawatan. Namun, memikirkan soalan yang perlu ditanya bukanlah mudah.
“Bagaimana jika saya tidak tahu apa yang perlu ditanya?’ katanya seperti dikongsikan kepada K-Wanita baru-baru ini menerusi satu kenyataan di e-mel sebagai panduan buat wanita-wanita lain yang mungkin tidak tahu apa yang boleh dijangka sekiranya didiagnosis kanser payudara ketika hamil.
Chiew Mei bukannya malu untuk bertanya, cuma selalunya dia tidak dapat memikirkan sebarang soalan semasa sesi konsultasi. Dia hanya mendengar dan berkata ‘baik’, namun fikirannya kosong apabila diberi peluang bertanya lebih lanjut.
“Saya memang tidak tahu apa yang hendak ditanya,” katanya.
Dia meletakkan sepenuh kepercayaan kepada para doktor untuk membuat keputusan penting mengenai rawatan. Pun begitu, kepercayaan terhadap pelan rawatan itu tidak bermakna dia memahami setiap perubahan yang dialaminya sepanjang tempoh rawatan.
Jadi, dia tekad untuk bertanya perkara harian yang membimbangkannya, daripada masalah kulit gatal hinggalah gusi sakit.
Berdasarkan pengalamannya itu, Chiew Mei menggalakkan pesakit supaya membuat persediaan sebelum sesi janji temu dan bertanya apa jua soalan, walaupun tentang perkara yang dianggap remeh dan tidak mengabaikannya.
Bagi wanita yang didiagnosis kanser payudara semasa hamil, bukan mudah untuk membuat keputusan dalam memilih rawatan kerana mereka tidak sekadar memikirkan kesihatan diri sendiri bahkan turut bimbangkan bayi dalam kandungan.
Sebagaimana yang dijelaskan pakar perunding onkologi klinikal di OncoCare Malaysia, Dr. John Low Seng Hooi kepadanya, kebimbangan ini boleh ditangani melalui pelan rawatan yang mengambil kira keadaan ibu dan bayi.
Pemilihan ubat, masa pemberian dan pemantauan pesakit memerlukan penyelarasan yang rapi antara pasukan onkologi, pakar obstetrik dan pakar bedah payudara.
Memandangkan bukan semua ubat kanser sesuai digunakan ketika hamil, maka pelan rawatan itu juga mesti disesuaikan mengikut keadaan setiap wanita.
Pesakit juga boleh bertanya bagaimana jenis dan tahap kanser yang dihidapi mempengaruhi pilihan rawatan yang sesuai untuk dirinya dan bukan cuba mentafsir sendiri laporan perubatan. Perbincangan sebegini tidak semestinya terhad kepada janji temu pertama saja kerana pelbagai persoalan boleh timbul sepanjang proses rawatan.
Rawatan tidak hanya melibatkan ubat-ubatan, doktor menggalakkan pesakit bertanya tentang kaunseling, sokongan psikologi dan kumpulan sokongan pesakit yang boleh membantu mereka mengharungi perjalanan rawatan ini.
“Tiada soalan yang tidak boleh ditanya kepada pasukan perubatan anda,” katanya.
Antara detik yang paling sukar bagi Chiew Mei adalah selepas dia melahirkan anak. Masih jelas di ingatan pengalaman menjalani proses induksi kelahiran yang disusuli dengan pembedahan pada keesokan paginya. Apabila tersedar, dalam keadaan badannya yang lemah dan sakit, dia menangis lagi.
“Saya berasa begitu sebak apabila memikirkan betapa sukarnya untuk saya sampai ke tahap ini dan perjalanan ini belum berakhir,” katanya.
Ketika itu, dia perlu menjaga bayi yang baru lahir serta anak perempuan sulungnya, dengan lebih banyak sesi kemoterapi masih menantinya. Dia juga perlu menyesuaikan diri kerana tidak dapat menyusukan bayi lelakinya semasa menjalani kemoterapi.
Namun begitu, ada beberapa perkara yang ternyata lebih mudah daripada yang disangka: Dia boleh makan dan tidak muntah-muntah.
Walaupun boleh makan, tetapi dia tidaklah berasa sihat sepenuhnya kerana ada gejala lain yang cukup mencabar. Rambutnya gugur, kakinya sakit dan terasa mencucuk-cucuk sehingga sukar berjalan, selain turut mengalami masalah gusi sakit dan kulit gatal.
Gejala-gejala ini menjejaskan kehidupan hariannya dan perlu diberi perhatian yang sewajarnya sama seperti keputusan penting tentang rawatan.
Jururawat pendidik onkologi ketika itu, Norhaniza Mohd. Rashid sering mendengar kebimbangan harian yang serupa. Persoalan biasanya timbul selepas sesi konsultasi, apabila pesakit mula memikirkan kesan rawatan terhadap kehidupan mereka di rumah.
Sebelum kitaran kemoterapi pertama, jururawat itu akan cuba melibatkan penjaga semasa menerangkan perkara yang boleh dijangkakan sepanjang rawatan. Katanya, ketika itu pesakit menerima banyak maklumat dalam satu masa dan mungkin mereka tidak dapat mengingati semuanya.
Beliau juga akan bertanya keadaan pesakit pada kitaran-kitaran seterusnya dan menggalakkan mereka untuk menghubungi pasukan perubatan pada waktu pejabat jika ada sebarang kemusykilan.
Ada pesakit yang bertanya apakah mereka masih boleh memeluk anak-anak atau berkongsi katil dengan pasangan? Beliau menjelaskan bahawa pesakit yang menjalani kemoterapi masih boleh memeluk anak-anak sambil membincangkan langkah berjaga-jaga yang perlu diamalkan di rumah.
Di sinilah letaknya kepentingan untuk mengetahui pihak yang boleh dihubungi semasa berada di rumah. Selain soalan tentang jangkaan terhadap rawatan, pesakit dan penjaga boleh mendapatkan maklumat daripada pasukan perubatan berkaitan gejala yang memerlukan perhatian segera serta tindakan yang perlu diambil di luar waktu pejabat.
Chiew Mei juga mendapat bantuan untuk menguruskan pelbagai hal di luar klinik. Suami menemaninya ke janji temu perubatan, ibunya menyediakan makanan sepanjang tempoh kemoterapi, manakala adik-beradik membantu menjaga anak-anaknya. Majikannya pula menyemak polisi syarikat berkaitan cuti sakit berpanjangan, yang membolehkannya mengambil cuti daripada bekerja.
“Setiap kali saya ada janji temu doktor, seolah-olah seluruh kampung akan datang ke rumah saya,” katanya.
Chiew Mei menonton drama Korea untuk menghiburkan hati dan melupakan seketika ujian yang melanda. Apabila keadaan dirinya mengizinkan, dia mengisi masa dengan melakukan kerja-kerja rumah yang ringan.
Walaupun dia mampu menghadapinya, itu tidak bermakna dia tidak pernah berasa terbeban. Air mata selepas pembedahan itu juga sebahagian kisahnya, begitu jua sifatnya yang suka berjenaka dan tekadnya.
Kini mempunyai tiga orang anak, Chiew Mei masih menghadiri janji temu susulan dan menyatakan pemeriksaannya setakat ini tidak menunjukkan tanda kanser. Bercakap mengenai kemungkinan kanser berulang, dia memilih pendirian; “Jika berlaku, saya akan hadapinya.”














