PETALING JAYA – Hasrat seorang rakyat Malaysia untuk menelusuri sejarah Islam dan kisah para Anbiya menerusi penggambaran di Oman tidak kesampaian apabila beliau dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di negara berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) RareTV, Allahyarham Muhammad Akhmal Asyraf Mohd., meninggal dunia di sebuah hospital di Muscat, Oman selepas ditidurkan akibat jangkitan paru-paru.
Menerusi perkongsian rakannya, Saiful Nang di Threads, pemergian Allahyarham yang berlaku pada pukul 6.58 petang waktu Oman, selepas maghrib pada malam Jumaat itu mengundang rasa hiba dalam kalangan netizen.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen menyifatkan pemergian Allahyarham ketika bermusafir bagi menjejaki sejarah dan ilmuwan Islam sebagai satu kehilangan besar.
“Dia meninggal di Nizwa. Itu bumi yang mempunyai sejarah dipimpin oleh imam yang adil. Sampai sekarang kalau pergi Nizwa, terasa kuatnya agama Islam di situ berbanding di Muscat,” komen @c.rf47.
“Banyak-banyak tempat arwah pergi, tetapi dekat Oman arwah terpilih untuk pergi selamanya. Al-Fatihah buat Kapten AA,” tulis @sssharifah pula.
Dalam pada itu, seorang pengguna @nurzaqanimohamad turut menyifatkan pemergian Allahyarham ketika bermusafir bagi menelusuri sejarah Islam pada hari yang mulia sebagai sesuatu yang cukup menyentuh hati.
“Arwah pergi ketika sedang bermusafir dan mencari jejak-jejak para ilmuwan Islam pada hari yang mulia dan di tempat yang mulia. Moga syurga tertinggi buat arwah. Amin,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang rakyat Malaysia, Akhmal Asyraf yang berada di Oman bagi menjalani program Kembara Wahyu Ramadan 2027 ditidurkan selepas mengalami demam dan jangkitan paru-paru sehingga menyebabkan kesukaran bernafas.
Perkembangan itu dikongsikan rakannya, Saiful Nang menerusi beberapa hantaran di Threads yang memaklumkan Akhmal pada awalnya menerima rawatan di Hospital Nizwa sebelum dipindahkan ke Badr Al Samaa Royal Hospital, Muscat, Oman. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














