ALEXANDER Isak (tengah) meledak dua gol untuk membantu Liverpool menewaskan Club Brugge 3-0. -AGENSI

UCL: Isak, Wirtz garang benam Brugge

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BRUGGE – Gandingan bernilai £250 juta (RM1.348 bilion), Ale­xander Isak dan Florian Wirtz mula menunjukkan taring mereka apabila masing-masing meledak gol untuk membantu Liverpool melakar kemenangan 3-0 ke atas Club Brugge dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL), awal pagi semalam.

Kedua-dua bintang berkenaan yang sebelum ini bergelut untuk membuktikan harga perpindahan tinggi pada musim pertama di Anfield, kini mula mempamerkan kualiti sebenar apabila membantu The Reds berada di tangga kelima carta liga UCL.

Isak membuka tirai jaringan seawal minit ke-13 sebelum menambah gol kedua peribadinya pada lewat permainan, sekali gus mencatatkan gol ke-10 musim ini, manakala Wirtz menyumbang satu jaringan dalam lima penampilan berturut-turut bersama kelab dan negara.

“Saya boleh katakan ini adalah kemenangan sempurna di gelanggang lawan. Saya kini berada pada tahap prestasi terbaik dan yang paling penting, pasukan juga dalam momentum yang hebat.

“Secara keseluruhan, jentera serangan kami sudah mula serasi dan menemui rentak sebenar. Kami mempunyai variasi kombinasi yang berbeza dan sesiapa sahaja yang diturunkan mampu menghadirkan ancaman besar,” kata Isak.

Kejayaan di bumi Belgium itu hadir ketika pengurus Liverpool, Andoni Iraola mengambil pendekatan berani dengan merehatkan tonggak utama seperti kapten Virgil van Dijk dan Alexis Mac Allister sebagai persiapan menghadapi pertembungan derby Merseyside menentang Everton, hujung minggu ini.

Iraola menegaskan ku­tipan tiga mata berharga itu bukan sahaja mengukuhkan kedudukan pasukan dalam saingan liga, malah membuka ruang untuk mereka memburu kedudukan lapan teratas bagi mengelak turun beraksi pada playoff. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN