Gambar hiasan

SPRM jawab dakwaan siasatan pilih kasih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menolak dakwaan kononnya agensi itu mengamalkan siasatan secara dua darjat atau double standard dalam menjalankan tugasnya.

SPRM dalam kenyataan berkata, dakwaan berkenaan tidak berasas serta tidak mencerminkan prinsip profesionalisme, integriti dan tatacara kerja yang menjadi pegangan suruhanjaya itu.

Menurutnya, SPRM memulakan siasatan berhubung isu perbelanjaan Projek Jalan Luar Bandar (JALB) membabitkan sebuah kementerian pada 27 Oktober lalu.

“Sehingga kini, seramai 20 saksi daripada pelbagai kementerian dan agensi berkaitan telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

“Siasatan masih diteruskan dan SPRM sedang meneliti segala maklumat serta keterangan yang diperoleh bagi memastikan setiap aspek berkaitan perkara ini disiasat secara menyeluruh,” menurut kenyataan itu hari ini.

Menurut SPRM, pihaknya menghormati hak semua pihak untuk menyuarakan pandangan, kritikan dan teguran, namun menegaskan sebarang dakwaan perlu berlandaskan fakta sahih serta disampaikan secara bertanggungjawab.

“Setiap siasatan dilaksanakan berdasarkan fakta, bukti dan peruntukan undang-undang tanpa mengira kedudukan, pangkat atau latar belakang individu.

“Suruhanjaya kekal komited menjalankan tanggungjawab secara profesional, bebas, adil dan telus bagi memastikan prinsip kedaulatan undang-undang terus dipelihara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN