KEJAYAAN Barisan Nasional (BN) mencipta hatrik menerusi kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Melaka dan Negeri Sembilan dilihat memberi isyarat positif terhadap kedudukan parti itu dalam landskap politik negara.
Keadaan itu sekali gus mencetuskan persoalan adakah rakyat mula kembali memberikan kepercayaan kepada gabungan berkenaan, khususnya dalam usaha meraih kembali sokongan pengundi Melayu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berkata, keputusan tiga PRN itu memperlihatkan tanda-tanda pemulihan sokongan terhadap BN khususnya UMNO selepas kemerosotan pengaruhnya sejak PRU14.
Dalam konteks ini, kejayaan BN memenangi 48 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor selain 18 di Negeri Sembilan dan 21 di Melaka membuktikan gabungan itu masih mempunyai kekuatan organisasi dan jentera akar umbi.
“Namun saya ingin bagi peringatan bahawa kemenangan ini tidak semestinya menggambarkan pemulihan kepercayaan secara menyeluruh kerana faktor kepimpinan negeri, kekuatan calon dan kerjasama BN-Perikatan Nasional (PN) turut mempengaruhi keputusan,” katanya kepada Kosmo!.
Dalam pada itu, kemenangan parti komponen BN khususnya MCA dan MIC turut memberikan gambaran mengenai kedudukan gabungan itu dalam kalangan pengundi bukan Melayu.
Jika dilihat, pada PRN Johor, MCA memenangi lapan kerusi, manakala MIC memperoleh empat kerusi.
Sementara dalam PRN Melaka, MCA berjaya memenangi dua kerusi dan MIC satu kerusi, seterusnya memperlihatkan parti komponen BN masih mempunyai ruang memperoleh sokongan di kawasan tertentu, termasuk kawasan masyarakat berbilang kaum.
“Saya lihat perkembangan ini menjelaskan kemungkinan berlakunya perubahan sokongan dalam sebahagian kawasan campuran, tetapi belum cukup membuktikan peralihan besar pengundi bukan Melayu kepada BN.
“BN perlu membuktikan bahawa penerimaan terhadap MCA dan MIC bukan hanya bergantung pada populariti calon atau faktor setempat, sebaliknya turut mencerminkan peningkatan keyakinan terhadap gabungan itu,” katanya.
Susulan itu, Mohammad Tawfik berkata, momentum kemenangan tiga PRN itu memberikan BN kelebihan darip sudut keyakinan organisasi, pengalaman kempen dan pengukuhan jentera pilihan raya.
“Namun keputusan PRN tidak boleh diterjemahkan secara automatik kepada keputusan PRU16 kerana corak persaingan politik negeri dan nasional berbeza.
Jika kita kaji di peringkat nasional, isu kos sara hidup, prestasi ekonomi, kepimpinan negara, pengundi muda serta keupayaan menarik pengundi bandar dan kawasan campuran menjadi antara faktor penting.
“Selain itu formula kerjasama BN PN yang membantu membentuk kerajaan di Negeri Sembilan dan Melaka juga belum tentu dapat dilaksanakan dengan pendekatan sama di seluruh negara,” katanya.
Justeru, katanya, tiga kemenangan tersebut merupakan perkembangan penting dalam kedudukan politik BN tetapi kekuatan sebenar gabungan itu pada PRU16 perlu dinilai berdasarkan sokongan pengundi merentasi negeri, kumpulan masyarakat dan kawasan Parlimen.














