Ahmad ayyash masih ditempatkan di ICU Hospital Sungai Buloh selepas menjalani pembedahan ekoran keadaannya yang masih memerlukan pemantauan selepas parah diserang monyet liar di rumahnya di Paya Jaras Ahad lalu.

Dilahirkan sempurna, Ayyash terima beratus jahitan di muka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Perasaan seorang ibu muda bertambah luluh apabila saraf pipi bayinya kemungkinan sudah mati hingga menyebabkan tidak lagi boleh bergerak seperti biasa akibat serangan monyet liar dalam kejadian di Paya Jaras, Sungai Buloh Ahad lalu.

Namun, Nurelyana Batrisha Mohammad Farid, 18, tidak pernah berhenti mengharapkan keajaiban dan mendoakan buat anaknya, Ahmad Ayyash Adyan, enam bulan, agar kembali sihat dan ceria seperti sediakala.

Katanya, serangan monyet itu mengakibatkan anaknya terpaksa menerima beratus-ratus jahitan dari bahagian dalam hingga ke luar bagi merawat luka pada wajahnya.

“Doktor memaklumkan setiap luka ada tulang dan semua tulang itu retak, tetapi alhamdulillah masih boleh sembuh. Cuma saraf bayi kemungkinan sudah mati, ibarat sudah lumpuh se­belah pipi

“Ketika ini saya hanya mengharapkan Ayyash diberikan ke­sembuhan meskipun terpaksa melalui tempoh rawatan yang panjang susulan kecederaan serius pada pipi dan mulutnya,” katanya kepada Kosmo!.

Sebelum ini Kosmo! melaporkan kejadian pada pukul 8 malam itu berlaku ketika Ahmad Ayyash sedang tidur di dalam buaian di rumah keluarganya di Paya Jaras, Sungai Buloh.

Kejadian itu hanya disedari ibunya selepas mendengar bayi itu menangis sebelum melihat langsir terjatuh ketika wanita tersebut berada di dapur.

Menurut Nurelyana, doktor memaklumkan saraf pada bahagian pipi Ayyash berkemungkinan sudah mati sehingga menyebabkan bahagian wajah itu tidak lagi mampu bergerak se­perti biasa.

Tambahnya, bayinya masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Hospital Sungai Buloh ke­rana pemeriksaan doktor mendapati semua tulang pada bahagian luka mengalami keretakan, namun masih ada potensi untuk sembuh.

“Jahitan dijangka dibuka selepas lebih seminggu bergantung kepada keadaan luka. Pemeriksaan akan dilakukan bagi me­ngetahui sama ada saraf pada pipi masih berfungsi atau sebaliknya selepas keadaannya semakin stabil,” katanya.

Ujar Nurelyana, ketika ini Ayyash mendapatkan makanan menggunakan tiub melalui hidung dan dijangka memerlukan tempoh panjang untuk menjalani rawatan seterusnya.

“Selepas Ayyash stabil dan keadaan jahitannya semakin baik, doktor akan memeriksa sekali lagi keadaan sarafnya.

“Mengenai pembedahan susulan pula, saya masih belum mendapat jawapan sebenar daripada doktor,” katanya.

Mengulas kemungkinan kesan kecederaan terhadap masa depan anaknya, Nurelyana me­ngakui sukar menerima keadaan yang menimpa Ayyash, apalagi apabila memikirkan anaknya dilahirkan sempurna tanpa sebarang kecacatan.

“Sebagai seorang ibu, saya tidak sanggup melihat anak jadi macam itu. Dia dilahirkan sempurna tanpa cacat cela, tetapi apabila perkara ini berlaku, saya sendiri tidak mampu nak hadap.

“Sangat susah untuk kami terima, tetapi saya percaya kuasa Tuhan. Insya-Allah, ada keajaiban untuk Ayyash kerana dia anak yang kuat.

“Buat masa sekarang, saya tidak fikir perkara lain, asalkan dia sembuh dan sihat. Walaupun nanti dia tidak sempurna, saya tetap akan sayang dia sampai hujung nyawa,” luahnya.

Dia berharap tindakan segera diambil bagi menangani ancaman haiwan liar supaya kejadian sama tidak berulang dan meminta ibu bapa supaya sentiasa mengawasi anak-anak serta tidak membiarkan mereka bersendirian kerana kejadian tidak diingini boleh berlaku dalam sekelip mata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN