PARIS – Sebiji cawan porselin nadir berbentuk payudara wanita milik Permaisuri Perancis, mendiang Marie-Antoinette dilelong pada harga rekod €2.9 juta euro (RM13.8 juta) semalam.
Karya akhir abad ke-18 daripada kilang porselin terkenal, Sèvres itu disangka hilang selama dua abad sebelum ditemukan secara tidak sengaja dalam inventori Galeri Meyer di Paris.
Dinamakan ‘Jatte-teton’ atau ‘mangkuk puting’, ia merupakan salah satu daripada empat cawan sedemikian yang pernah ditempah oleh Raja Louis XVI kepada Marie-Antoinette sebagai cawan untuk meletakkan susu di kediaman diraja Rambouillet, barat daya Paris.
Permaisuri kelahiran Austria itu terkenal dengan perbelanjaan mewahnya, yang menyumbang kepada kemerosotan pandangan awam terhadap sistem beraja Perancis.
Beliau dihukum pancung dengan gilotin pada Oktober 1793 ketika berusia 37 tahun.Hôtel Drouot yang mengendalikan lelongan barangan tembikar menyatakan, harga €2.9 juta euro itu merupakan rekod tertinggi bagi lelongan porselin Sèvres. – AFP














