MAZLINA menerima Anugerah Ketekunan SAY TEAM 2026 di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Terjerumus dadah nak kurus, Mazlina bangkit dari sisi gelap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ADA satu ketika, wanita itu melihat dirinya sebagai seseorang yang tidak cukup baik untuk diterima.

Kata-kata mengenai bentuk tubuh, perasaan tersisih dan persoalan tentang asal usul dirinya menjadi luka yang dipendam sejak remaja.

Dalam usaha melarikan diri daripada tekanan itu, dia memilih jalan singkat yang akhirnya mengheret kehidupannya ke kancah penagihan dadah selama hampir dua dekad.

Namun, perjalanan hidup Nor Mazlina Maulat Mazlan, 36, tidak berakhir di situ. Selepas bertahun-tahun terperangkap dalam ketagihan, melalui kegagalan pemulihan, rumah tangga bergolak dan pengalaman membesarkan tiga anak dalam keadaan mencabar, dia akhirnya membuat keputusan menyelamatkan dirinya sendiri.

Hari ini, wanita yang pernah bergelut dengan ketagihan methamphetamine atau syabu itu sedang membina kehidupan baharu sebagai individu dalam pemulihan (person in recovery), selain bekerja sebagai fasilitator sambilan untuk membantu golongan wanita yang berdepan masalah ketagihan dan cabaran selepas pemulihan.

Menurutnya, perjalanan yang dilalui bukan sekadar kisah meninggalkan dadah, sebaliknya tentang seorang wanita yang belajar menerima diri, menghargai keluarga dan mencari semula harga diri yang pernah hilang.

“Penglibatan saya dengan dadah bermula ketika berusia 16 tahun. Waktu itu, saya berdepan tekanan emosi akibat persepsi terhadap penampilan fizikal serta perasaan berbeza layanan dalam keluarga.

“Perasaan dilayan berbeza lebih kuat selepas mengetahui bahawa saya merupakan anak angkat ketika urusan membetulkan maklumat pada kad pengenalan,” katanya kepada K-Wanita di Pejabat Yayasan Raja Muda Selangor, Selangor Youth Community (SAY), Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Tambahnya, walaupun dibesarkan oleh keluarga angkat sejak kecil, hakikat itu menimbulkan pelbagai persoalan terutama apabila dia mula mengaitkannya dengan pengalaman berasa tersisih berbanding adik-beradik lain.

Keinginan untuk memiliki tubuh lebih kurus menjadi antara pencetus awal pengambilan dadah. Dalam tempoh sebulan, berat badannya pernah turun kira-kira 20 kilogram (kg) daripada lebih 100kg.

Pada usia remaja, perubahan fizikal itu dianggap sebagai kejayaan. Namun, dia tidak menyedari harga yang perlu dibayar untuk mendapatkan perubahan secara drastik tersebut.

Apa yang bermula sebagai jalan keluar daripada rasa rendah diri akhirnya bertukar menjadi kebergantungan yang sukar diputuskan.

Kongsi Mazlina lagi, ketika berusia 23 tahun, dia mendirikan rumah tangga dengan lelaki yang turut terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

“Kehidupan bersama pasangan yang mengalami ketagihan menyebabkan pengambilan bahan terlarang menjadi sebahagian daripada rutin harian.

“Saya bagaimanapun mampu menghentikan pengambilan dadah ketika mengandung dan menyusukan anak, tetapi kembali terjebak selepas beberapa bulan, terutama apabila berhadapan tekanan serta tanggungjawab menguruskan rumah tangga,” ujarnya.

Katanya lagi, dia pernah menggunakan dadah dengan alasan mahu mendapatkan tenaga untuk melakukan kerja rumah dan menjaga tiga orang anak.

Ketika itu, dia merasakan bahan tersebut membolehkannya menguruskan pelbagai perkara walaupun dalam keadaan penat.

Mazlina menebus kesilapan lalu dengan kini membantu pemulihan dalam masyarakat.

Namun, kehidupan rumah tangga yang semakin tidak terkawal, termasuk pengalaman berhadapan dengan halusinasi bekas suami, akhirnya menyedarkannya bahawa persekitaran tersebut bukan lagi tempat yang selamat untuk dirinya dan anak-anak.

Selepas menjalani pemulihan buat kali pertama dan melalui episod kembali menagih (relapse), Mazlina mengambil keputusan untuk berpisah secara baik.

Dia sedar selagi hubungan dan persekitaran yang menjadi pencetus ketagihan tidak diputuskan, selagi itulah dia berisiko kembali ke kancah lama.

Pada 2020, Mazlina pernah dihantar ke pusat pemulihan Pengasih oleh keluarganya. Bagaimanapun, ketika itu dia belum benar-benar bersedia untuk berubah. Selepas kira-kira tiga bulan, dia kembali menjalani kehidupan seperti biasa, namun ketagihan masih belum dapat diputuskan sepenuhnya.

Empat tahun kemudian, dia sekali lagi berhadapan realiti bahawa kehidupannya perlu berubah. Kali ini, keputusan mendapatkan rawatan datang daripada dirinya sendiri.

Ketika masih bergelut dengan ketagihan, dia mula memandang wajah anak-anak dan tertanya-tanya sampai bila mahu terus hidup dalam keadaan sedemikian.

Kesedaran itu mendorongnya berbincang dengan keluarga dan meminta bapanya menghantarnya ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Dengkil pada 2024.

Berbeza dengan pengalaman pertama, kali ini dia benar-benar mahukan peluang kedua. Malah, sebelum berangkat, dia meminta keluarganya membawa anak-anak keluar kerana tidak sanggup berdepan dengan perpisahan itu.

“Keputusan untuk pergi memang berat tetapi kerana ingin berubah saya tekadkan hati dan beritahu anak-anak bahawa saya akan tiada agak lama kerana belajar agama.

“Antara detik paling menyentuh hati saya sepanjang menjalani pemulihan ialah apabila mengetahui ayah berada dalam keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan, dan kejadian itu membuatkan saya lebih nekad untuk betul-betul berubah,” kongsinya.

Selama berada di Puspen, ibu bapanya tidak pernah berhenti memberikan sokongan. Ibunya sanggup datang melawat setiap bulan sambil membawa makanan, manakala bapanya sentiasa berusaha memastikan anak perempuannya mendapat peluang membina kehidupan baharu.

Sepanjang 13 bulan berada di Puspen Dengkil, Mazlina mula mengenali semula dirinya menerusi disiplin, pengisian kerohanian dan sesi kaunseling.

Dia mengakui ruang untuk berkongsi masalah dengan kaunselor banyak membantunya memahami punca ketagihan serta mengenal pasti perkara yang boleh mencetuskan keinginan untuk kembali mengambil dadah.

Selain mendalami agama, dia turut belajar menjaga pergaulan dan tidak mudah terpengaruh dengan individu yang tidak mempunyai kesungguhan untuk berubah.

Mazlina akhirnya dibenarkan keluar pada Oktober 2025 selepas menunjukkan perkembangan positif. Kepulangannya disambut penuh kesyukuran oleh keluarga, malah ibunya membawa pulut kuning sebagai tanda penghargaan kepada pihak pusat pemulihan.

Bagi Mazlina, keluar dari pusat pemulihan bukan bermakna perjuangan sudah selesai. Sebaliknya, cabaran sebenar bermula apabila dia perlu berhadapan dengan dunia luar yang mempunyai pelbagai kemungkinan untuk menariknya kembali ke kehidupan lama.

“Langkah pertama saya ialah memutuskan hubungan dengan lingkungan sosial yang pernah menjadi sebahagian daripada ketagihan.

“Saya menukar nombor telefon, menyekat kenalan tertentu di semua saluran dan menjauhkan diri daripada individu yang boleh membawa pengaruh negatif,” jelasnya.

Selepas bebas, dia juga perlu mencari pekerjaan bagi menyara kehidupan bersama tiga orang anak. Walaupun mempunyai kemahiran dalam bidang solekan, penggayaan rambut, fotografi dan fesyen, mendapatkan pekerjaan tetap bukan sesuatu yang mudah.

Mazlina pernah bekerja sebagai jurusolek bersama pasukan produksi dan melakukan kerja secara bebas. Namun, dia menyedari perlu mempelajari perkara baharu untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan selepas pemulihan.

Dia pernah menghadiri kira-kira 10 sesi temu duga pekerjaan, termasuk melalui LinkedIn, sebelum memperoleh peluang bekerja dengan SAY untuk program pembangunan dan pemulihan masyarakat.

Kini, selain bekerja, dia turut menjalankan tugas sebagai fasilitator sambilan dalam Program TEAM. TEAM ialah program pembangunan diri dan profesional intensif yang bertujuan memberi peluang kedua yang saksama kepada belia berisiko di Malaysia, dengan matlamat akhir untuk membuka akses kepada mereka melalui tiga jenis peluang iaitu pekerjaan, pendidikan dan keusahawanan.

Pengalaman itu membuka ruang kepadanya membina keyakinan diri yang sebelum ini begitu rendah.

Jika dahulu, dia seorang yang pemalu sehingga tidak berani membuat pesanan makanan sendiri, kini dia sudah mampu berkomunikasi, menyediakan slaid pembentangan, menulis surat dan mempelajari analisis SWOT.

“Lebih penting, saya berpeluang menggunakan pengalaman hidup sendiri untuk membantu wanita lain yang sedang berusaha keluar daripada belenggu ketagihan,” tambahnya.

Sebagai fasilitator, Mazlina memahami wanita dalam pemulihan mempunyai cabaran tersendiri, terutama berkaitan kewangan, keganasan rumah tangga, kesukaran mendapatkan pekerjaan dan kebergantungan kepada pasangan.

Dia mahu membantu mereka mendapatkan peluang pekerjaan serta membina kehidupan berdikari.

“Saya juga ada tiga orang anak. Jadi, kalau saya boleh hidup dan membesarkan anak-anak tanpa bergantung kepada lelaki, kenapa wanita lain tidak boleh?

“Saya mahu mereka tahu bahawa mereka juga mampu berdiri sendiri. Kalau betul-betul mahu berubah dan berusaha, pasti ada jalan,” katanya.

Antara perkara paling membanggakan dalam perjalanan baharunya ialah apabila Mazlina bukan sahaja berjaya mendapatkan pekerjaan, malah diberi kepercayaan membantu individu lain yang sedang melalui proses pemulihan.

Dia melihat tugas sebagai fasilitator bukan sekadar pekerjaan, tetapi peluang membuktikan pengalaman silam tidak sepatutnya menjadi penghalang seseorang membina masa depan.

Pada 30 September lalu, segala usaha dan ketabahannya menerima pengiktirafan apabila dinobatkan penerima Anugerah Ketekunan SAY TEAM 2026 sempena Hari Anugerah SAY TEAM di Subang Jaya.

Mazlina turut memperoleh pensijilan Certified Recovery Coach (CRC), sekali gus melengkapkan pengetahuan dan kemahirannya untuk membimbing individu dalam proses pemulihan.

Bagi Mazlina, kedua-dua pencapaian itu membawa makna jauh lebih besar daripada sekadar sijil atau trofi.

Dia masih mengingati kegembiraan ibunya ketika melihat kejayaan tersebut, manakala bapanya yang tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan turut menyampaikan rasa bangga terhadap perubahan yang dilakukannya.

“Mak saya bangga apabila saya dapat anugerah dan sijil. Sekurang-kurangnya sekarang saya ada sesuatu yang boleh dibanggakan. Bapa pun tahu apa saya buat dan dia sangat menyokong,” kongsinya.

Lebih daripada itu, dia mahu membuktikan bahawa individu dalam pemulihan juga mampu menjalani kehidupan seperti orang lain sekiranya diberikan peluang dan kepercayaan.

Melihat kembali perjalanan hidupnya, Mazlina tidak menafikan proses pemulihan memerlukan kekuatan mental dan fizikal yang berterusan.

Walaupun sudah bebas dari sisi gelap, seseorang masih perlu menjaga diri kerana risiko kembali terjebak boleh berlaku pada bila-bila masa.

Sebab itu, dia memilih untuk tidak terlalu bergantung kepada orang lain dalam membina kehidupan. Baginya, sokongan keluarga dan persekitaran positif memang penting, tetapi kemahuan untuk berubah perlu datang daripada diri sendiri.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN