KEMAMAN – Dua pekerja termasuk seorang warga Bangladesh cedera dalam kejadian letupan dan kebakaran tempat simpanan sisa minyak industri di sebuah kilang pemprosesan dan kitar semula sisa berjadual di Taman Biopolimer, Kerteh di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.25 malam, seorang mangsa menerima beberapa jahitan di kepala dan tangan kiri, manakala seorang lagi pekerja warga Bangladesh cedera ringan pada tangan selepas terkena bahang panas kebakaran tersebut.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Penguasa Kanan Bomba I, Shahrin Yusmar Mat Yusof berkata, 46 pegawai dan anggota daripada empat buah balai berhampiran bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 9.28 malam.
“Ketika kejadian, terdapat 15 pekerja sedang bertugas dan dua daripadanya cedera akibat letupan relau berhampiran pejabat atau bilik kawalan.
“Kebakaran melibatkan kira-kira 80 peratus daripada keseluruhan struktur salah sebuah bangunan yang mana berlaku satu letupan besar sebelum bahang panas daripada letupan itu menyebabkan kebakaran merebak ke simpanan minyak atau tong dram berhampiran,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Shahrin Yusmar berkata, pihaknya mengambil masa sejam 30 minit bagi mengawal api daripada merebak sebelum operasi pemadaman tamat sepenuhnya kira-kira pukul 5.14 pagi.
Sementara itu salah seorang mangsa yang tercedera dan enggan dikenali berkata, ketia kejadia, dia sedang melakukan kerja-kerja dokumentasi di dalam bilik kawalan sebelum terdengar bunyi letupan yang kuat.
“Letupan yang kuat menyebabkan kaca tingkap pecah dan mengenai bahagian kepala dan tangan kiri saya.
“Ketika itu saya tak fikir sakit, tapi sedaya upaya keluar dari lokasi kejadian bersama rakan-rakan sekerja yang lain. Mujurlah Allah selamatkan nyawa kami,” katanya yang menerima lebih lima jahitan. -KOSMO! ONLINE














