DUCATI mengesahkan Bagnaia tidak cergas untuk beraksi pada perlumbaan penutup musim di Valencia, hujung minggu ini.

MotoGP: Ducati tanpa ‘Pecco’ Bagnaia di Valencia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ROM – Pelumba Itali, Francesco ‘Pecco’ Bagnaia terpaksa melupakan peluang beraksi pada Grand Prix (GP) Valencia hujung minggu ini selepas disahkan tidak cergas untuk menyertai perlumbaan penutup musim di Litar Ricardo Tormo, Valencia.

Bagnaia mengalami kemalangan serius pada pusingan pertama GP Qatar apabila Fermin Aldeguer melanggar tayar belakang jentera miliknya, mengakibatkan dia mengalami patah kaki, sekali gus menyaksikan juara dunia MotoGP dua kali itu terlepas perlumbaan terakhirnya bersama Ducati.

Ducati mengesahkan Bagnaia tidak akan menyertai perlumbaan di Valencia, yang sepatutnya menjadi penampilan terakhirnya bersama pasukan Ducati Lenovo sebelum beralih ke Aprilia bagi musim 2027.

“Pecco Bagnaia terlepas GP Valencia, perlumbaan terakhir­nya sebagai pelumba Ducati Lenovo Team. Pemeriksaan perubatan terakhir yang dijalankan pagi ini sebelum sesi bermula tidak memberikan kebenaran untuknya kembali menunggang jentera.

“Bagaimanapun, hujung ming­gu ini tetap istimewa kerana ia menjadi perlumbaan perpisahan dengan jentera merah Borgo Pa­nigale, sekali gus menutup sebuah kisah indah yang sarat de­ngan kejayaan, dibina atas dasar kecintaan dan semangat yang akan kekal selamanya bersama pelumba paling berjaya dalam sejarah Ducati di MotoGP, de­ngan 31 kemenangan,” menurut kenyataan Ducati, semalam.

Bagnaia sebelum ini menjalani pembedahan dengan harapan dapat kembali beraksi pada GP Portugal atau Valencia, namun kedua-dua perlumbaan itu tidak dapat disertainya kerana masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

Meskipun tidak dapat beraksi di litar, Bagnaia dijangka tetap hadir ke Valencia hujung minggu ini bagi mengucapkan selamat tinggal secara rasmi kepada pa­sukan yang pernah membantunya meraih dua gelaran dunia MotoGP pada 2022 dan 2023.

Bagnaia turut berdepan kemungkinan terlepas ujian pertama bersama Aprilia yang dijadualkan berlangsung Selasa depan, walaupun perkara itu belum di­sahkan secara rasmi. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN