KUALA LUMPUR – Perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2027 peringkat jawatankuasa berakhir semalam selepas berlangsung selama 14 hari dengan penyertaan Ahli Parlimen daripada kedua-dua blok, diakhiri dengan penggulungan Kementerian Belia dan Sukan.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ramli Mohd. Nor mengumumkan kelulusan itu selepas bacaan kali ketiga oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Belanjawan kelima di bawah Kerajaan Madani itu melibatkan peruntukan kerajaan berjumlah RM459.8 bilion, selain RM25 bilion pelaburan daripada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), RM11 bilion pelaburan awam-swasta serta RM14.2 bilion pelaburan Badan Berkanun Persekutuan dan Syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD).
Ini menjadikan keseluruhan Belanjawan 2027 meneruskan dasar fiskal mengembang sebanyak RM510 bilion.
Dalam pada itu, isu penyeludupan dadah melalui pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta banjir di Nepal antara topik yang mendominasi perbahasan Dewan Rakyat minggu ini.
Turut dibangkitkan ialah pelbagai isu sindiket penipuan, buli, seksual kanak-kanak, kawalan keselamatan sempadan negara, kesihatan serta isu pelarian Myanmar.
Semasa sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada Selasa, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan Turkiye tidak bersedia mempertimbangkan penerimaan 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia dengan alasan negara berkenaan kini menampung lebih empat juta pelarian dari negara Arab dan beberapa negara jiran.
Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) membangkitkan isu keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 19 Nov berhubung genosid Rohingya oleh pasukan keselamatan Myanmar serta pendirian Malaysia menjemput ketua kerajaan negara itu ke Malaysia.
Menjawab perkara itu, Anwar berkata Malaysia menghormati keputusan ICJ, namun rundingan dengan Myanmar bertujuan memastikan kepulangan pelarian secara selamat dan bermaruah serta menangani isu hampir 200,000 pelarian negara itu di Malaysia.
Hasil rundingan itu, sebanyak 10,476 rakyat Myanmar telah dihantar pulang setakat ini dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh negara berkenaan.
Pada Rabu, dewan sunyi mendengar penjelasan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkaitan isu sindiket penipuan dalam talian, yang memaklumkan tempoh lima minit amat kritikal untuk menyekat pemindahan wang kepada sindiket.
Isu penyeludupan tiga tan dadah jenis methamphetamine bernilai RM156 juta menerusi dua pangkalan TUDM di Sabah dan Labuan turut mendapat perhatian Dewan Rakyat.
Saifuddin Nasution berkata, sebanyak 21 transaksi penyeludupan dikesan sejak Ogos 2024, melibatkan 1.2 tan dadah bernilai RM63 juta melalui Pangkalan TUDM Labuan dan 1.8 tan bernilai RM93 juta menerusi Pangkalan TUDM Tawau.
Kegusaran Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) mengenai isu kandungan berbahaya di media sosial turut mendapat perhatian apabila Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil memaklumkan sebanyak 40,214 kandungan berunsur buli dan 55 kandungan jelik melampau melibatkan kanak-kanak diturunkan bagi tempoh 1 Jan hingga 15 Nov.
Turut mencuri perhatian ketika sesi perbahasan ialah tindakan Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) yang lewat memasuki persidangan Dewan Rakyat kerana membantu penduduk di kawasannya menyelesaikan masalah hutang bank yang kritikal, namun diberi keizinan oleh Ramli untuk meneruskan hujahnya.
Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen ke-15 berlangsung selama 37 hari hingga 8 Disember ini. – KOSMO! ONLINE














