KUALA PILAH – Pengagihan portfolio dalam kalangan enam Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) baharu Negeri Sembilan dijangka menjadi antara perkara yang mencuri perhatian susulan pengurangan jumlah anggota pentadbiran kerajaan negeri berbanding 10 Exco sebelum ini.
Pengurangan empat jawatan Exco itu menimbulkan pertanyaan adakah akan berlakunya penggabungan beberapa portfolio sekali gus menyaksikan setiap Exco memikul skop tanggungjawab lebih luas dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Antara yang menjadi perhatian adalah individu yang bakal menerajui portfolio berkaitan pembangunan kerajaan tempatan, perumahan, pendidikan, kesihatan, pertanian, keterjaminan makanan serta kos sara hidup yang mempunyai kaitan langsung dengan kepentingan rakyat.
Turut menjadi persoalan sama ada Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim akan mengekalkan tiga portfolio utama yang disandangnya sebelum ini meliputi hal ehwal agama Islam dan keselamatan; kewangan, tanah dan sumber asli serta pelaburan, infrastruktur, utiliti, komunikasi dan Felda.
Difahamkan, enam Exco yang bakal dilantik pagi ini terdiri daripada empat wakil Barisan Nasional (BN) serta masing-masing seorang wakil Pas dan Wawasan.
Istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan itu dijadual berlangsung pukul 10.45 pagi ini di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti, di sini.
Terdahulu, Ismail pada 20 November lalu memaklumkan ketiadaan barisan Exco menjejaskan kelancaran pentadbiran kerajaan negeri berikutan banyak keputusan tidak dapat dibuat tanpa Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK).
Pembentukan semula barisan Exco selepas 68 hari kekosongan jawatan berkenaan turut penting bagi membolehkan kerajaan negeri memberi tumpuan kepada beberapa agenda tertangguh termasuk persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2027. -KOSMO! ONLINE














