PEMAIN beregu lelaki sensasi negara, Aaron Tai mengambil pendekatan untuk merendah diri biarpun peminat sukan badminton antarabangsa mula membandingkan dia dengan legenda Indonesia, Kevin Sanjaya Sukamuljo.
Kelincahan pemain berusia 20 tahun itu ketika berada di dalam gelanggang bersama pasangan, Yap Roy King terus mencuri tumpuan ramai, lebih-lebih lagi mereka sudah meraih dua kejuaraan biarpun baru digandingkan bulan lalu.
Walaupun gembira dibandingkan dengan pemain hebat seperti Kevin, namun Aaron tidak mahu terlalu dibuai dengan pujian, sebaliknya mengakui masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki dalam permainannya.
“Untuk saya, memang gembira apabila orang cakap begitu (permainan seperti Kevin), tetapi sebenarnya saya rasa masih ada banyak kelemahan dalam diri. Jadi, perlu banyak belajar lagi selepas ini.
“Saya pun jarang untuk melayari laman media sosial dan tidak tahu mengenai apa yang orang cakap mengenai saya. Ketika waktu lapang, saya hanya bermain permainan video di bilik,” kata pemain kelahiran Melaka itu.
Sebagai rekod, selepas mula digandingkan bulan lalu, gandingan Aaron-Roy King tidak menunggu lama untuk menggegarkan arena badminton antarabangsa apabila berjaya merangkul gelaran Terbuka Arctic yang merupakan kejohanan sulung mereka.
Kemudian, mereka terus mengorak langkah dengan menampilkan aksi cukup meyakinkan dalam beberapa kejohanan selepas itu, termasuk menyambar kejuaraan Kumamoto Masters di Jepun dua minggu lalu.
Sementara itu, Aaron juga mengakui dapat merasakan banyak perbezaan selepas bergandingan dengan beberapa pemain senior seperti Roy King dan Aaron Chia, terutamanya dari segi karakter di dalam gelanggang.
“Setiap individu itu ada karakter serta corak permainan yang berbeza-beza, jadi saya sudah banyak belajar. Antara perkara paling penting adalah mengenai sikap ketika dalam perlawanan,” ujarnya.














