Hampir 44,000 penonton membanjiri Stadium Wembley di England bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala FA Wanita antara Manchester City menentang Brighton pada 31 Mei lalu.
Ketika orang lain menyaksikan perlawanan tersebut dari kerusi penonton, seorang wanita berada lebih dekat dengan pemain di atas padang iaitu doktor utama pasukan Brighton, Bethany Koh.
Namun, dia tidak mendapat pandangan terbaik pada perlawanan itu kerana menonton dari bangku simpanan.
Hal ini kerana, Koh perlu memberi tumpuan kepada kebajikan pemain pasukannya berbanding aksi di atas padang.
“Berada di bangku simpanan kedengaran hebat, tetapi pemandangannya sangat teruk. Ada gol yang terlepas pandang kerana kami perlu memeriksa pemain terbaring di padang. Namun, itulah tugas kami,” katanya.
Meskipun skuad The Seagulls dibelasah 4-0 oleh juara liga, Manchester City, namun dia tetap menganggap penyertaan pada final kejohanan berprestij di Britain itu sebagai pencapaian terbaik dalam kerjayanya.
“Saya masih ingat, detik berkunjung ke Stadium Wembley dan menonton perlawanan dari tempat duduk pemain.
“Berada di bangku simpanan di Wembley, dan kemudian melangkah masuk ke padang sambil melihat keseluruhan stadium. Ia menjadi sebahagian daripada hari perlawanan itu, dan satu pengalaman yang luar biasa,” ujar Koh.
Penglibatan Koh dalam perlawanan akhir yang mempertemukan dua pasukan daripada liga divisyen utama di England itu juga menjadi ukuran pada pencapaian wanita berusia 35 tahun berkenaan.
Namun, laluan yang ditempuhi Koh tidak semudah disangka. Malah, dia tidak pernah bermimpi untuk berada dalam lingkaran sukan elit di England itu sebelum ini.
“Ketika melangkah masuk ke fakulti perubatan, saya tidak pernah terfikir dapat menggabungkan dua minat ini, iaitu bidang perubatan dan bola sepak.
“Namun, saya berada di negara terbaik untuk bola sepak. Saya menyedari bahawa wujud kerjaya sebagai doktor dalam bola sepak,” katanya kepada The Straits Times.
Koh berhijrah ke England pada 2015 untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di King’s College London, setelah menamatkan pengajian peringkat sarjana muda pertamanya dalam bidang kinesiologi di Toronto, Kanada.
Sebagai pelajar pascasiswazah kesempitan wang di kota London yang obses dengan bola sepak, dia aktif menyertai ceramah menampilkan doktor-doktor sukan.

Sekiranya terdapat persidangan yang mengenakan yuran pendaftaran, Koh akan menawarkan diri sebagai sukarelawan bagi mendapatkan pengecualian bayaran.
Peluang keemasan Koh hadir apabila dia dipanggil untuk menggantikan tugas doktor sementara (lokum) bagi perlawanan Piala FA Wanita melibatkan pasukan Brighton pada Februari 2023.
Jemputan itu datang daripada seorang doktor yang dikenalinya semasa menjalani latihan praktikal di universiti.
Pengalaman itu membolehkan Koh mengikuti rutin harian doktor di sebuah kelab bola sepak, sekali gus membangkitkan minatnya untuk bergelar pakar perubatan sukan.
Sejak perlawanan sulung itu, dia telah bertugas sebagai doktor pasukan dalam lebih 50 perlawanan melibatkan tiga kelab iaitu London City, Chelsea dan Brighton.
Selepas beberapa minggu perlawanan akhir Piala FA pada Mei lalu, Koh meninggalkan Brighton untuk kembali menyertai Chelsea di London, sekali gus menjimatkan masa perjalanan memandu dari rumahnya.
Koh kini lebih menumpukan perhatian kepada bidang sukan. Penyelidikannya juga menjurus kepada projek yang mengkaji kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL).
Minat mendalam Koh terhadap bola sepak turut membantu tugasnya sebagai seorang GP.
“Sebaik sahaja anda bercakap atau bertanya mengenai bola sepak (dengan pesakit), jika mereka memberi maklum balas yang sama, ia seolah-olah meruntuhkan tembok pemisah.
“Bola sepak sememangnya menyatukan masyarakat di England,” ujarnya.
Sebagai doktor pasukan utama, Koh bertanggungjawab mengendalikan tugas pada hari perlawanan serta pemeriksaan di klinik.
Dia juga perlu merawat pemain dan memberikan laporan terkini mengenai tahap kecergasan iaitu maklumat penting yang boleh mempengaruhi pemilihan kesebelasan utama oleh jurulatih.
Namun, pandangan perubatannya tidak selalunya diterima dengan mudah.

“Pemain sentiasa mahu beraksi. Mereka mungkin sedang selesema ketika bercakap dengan saya dan cuba meremehkan masalah kesihatan yang dialami.
“Namun, pemain sentiasa merasakan diri mereka berada dalam keadaan baik. Selagi pengurus pasukan sependapat dan menyokong keputusan saya, pemain itu tidak akan disenaraikan dan terpaksa direhatkan,” katanya.
Pada hari perlawanan, Koh yang juga penyokong kelab Liverpool amat menghargai peluang menjadi sebahagian daripada barisan kejurulatihan dan staf.
Menurutnya, keperluan untuk kekal profesional adalah amat penting.
“Anda berada di bilik persalinan sekiranya mereka memerlukan bantuan. Para pemain berada dalam ruang yang tersendiri pada ketika itu, dan saya akan berfikir: ‘Bagaimana saya boleh menyokong mereka?,” jelasnya.
Walaupun tidak diwajibkan menjalani sebarang ujian kecergasan, namun Koh amat teliti dalam menyusun persiapan praperlawanan.
Bagi Koh, sukar untuk mempercayai bagaimana seorang gadis yang dahulunya sering bermain di taman permainan di Bedok dan padang bola sepak di East Coast, Singapura, kini menjelajah ke seluruh England bersama pasukan wanita Chelsea.
Chelsea merupakan salah sebuah kelab bola sepak wanita terbesar di negara itu dengan memegang rekod lapan kejuaraan Liga Super Wanita (WSL).














