Tuanku Muhriz bertitah sempena Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti, di Kuala Pilah, hari ini. - NOR AINNA HAMZA

Tuanku Muhriz tegur Exco, jangan ulang kesilapan lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA PILAH – Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan diingatkan supaya sentiasa memahami batas tugas dan bidang kuasa masing-masing bagi mengelakkan tindakan yang boleh menjejaskan keharmonian serta kestabilan pentadbiran negeri.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah, segala peristiwa dan isu yang tercetus baru-baru ini perlu dijadikan pengajaran serta pedoman oleh semua pihak, khususnya barisan Exco yang baru dilantik.

Baginda bertitah, setiap Exco hendaklah memberikan sepenuh perhatian kepada portfolio yang diamanahkan dan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh komitmen serta kebijaksanaan.

“Kamu hendaklah sentiasa memahami batas tugas dan bidang kuasa masing-masing serta tidak bertindak melampaui kuasa dan tanggungjawab yang telah ditetapkan.

“Tumpukan sepenuh perhatian kepada portfolio yang diamanahkan dan laksanakan tanggungjawab tersebut dengan penuh komitmen dan kebijaksanaan.

“Beta tidak mahu perkara yang sama berulang sehingga boleh menjejaskan keharmonian, kestabilan dan kelancaran pentadbiran Kerajaan Negeri,” titah baginda ketika Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti, di sini, hari ini.

Turut menyaksikan istiadat itu, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud bersama kedua anakanda, Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al’Abidin.

Tuanku Muhriz turut menzahirkan ucapan tahniah kepada wakil rakyat yang terpilih menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada kali ini.

Baginda bertitah, pelantikan itu merupakan satu penghormatan, namun pada masa sama membawa tanggungjawab dan amanah besar kepada negeri serta rakyat.

Sehubungan itu, baginda menyeru semua Exco supaya mengutamakan kepentingan rakyat, melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti dan profesionalisme serta memastikan setiap keputusan dibuat berlandaskan kepentingan negeri dan kesejahteraan rakyat.

“Beta mendoakan agar Allah S.W.T. sentiasa memberikan petunjuk, kekuatan dan kebijaksanaan kepada Menteri Besar serta seluruh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.

“Semoga Negeri Sembilan terus berada dalam keadaan aman, makmur dan sejahtera, demi kepentingan seluruh rakyat,” titah baginda. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN