PUTRAJAYA- Malaysia menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) diberi kepercayaan oleh China dan negara-negara ASEAN untuk menyelaras projek kerjasama pengurusan bencana ASEAN-China bernilai kira-kira RM19.7 juta.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkembangan pelaksanaan projek berkenaan dibentangkan pada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN-China mengenai Pengurusan Bencana Ke-6 di Tangerang, Indonesia.
Beliau berkata, projek yang dilaksanakan sehingga Oktober 2028 itu merangkumi latihan petugas, sokongan teknologi maklumat dan komunikasi serta pembangunan sistem penyelarasan dan arahan operasi kecemasan.
Katanya, sistem berkenaan turut dilengkapi aplikasi mudah alih bagi membantu pasukan di lapangan menyelaras operasi ketika berdepan situasi bencana.
“Saya menekankan kepentingan latihan mencari dan menyelamat serta simulasi bersama di bawah Pelan Kerja ASEAN-China 2026-2030.
“Apabila bantuan perlu digerakkan merentas sempadan, pasukan dari negara berbeza mesti sudah terlatih untuk beroperasi bersama dan jelas tentang peranan masing-masing,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Ahmad Zahid, ASEAN turut melancarkan tiga Pelan Kerja Pengurusan Bencana 2026-2030 bersama China, Jepun dan Republik Korea.
Beliau berkata, dalam sesi bersama Jepun, delegasi Malaysia memberi tumpuan kepada latihan kesiapsiagaan komuniti dan pembangunan kepimpinan tempatan.
Sementara itu, dalam sesi bersama Republik Korea, Malaysia menggariskan keutamaan untuk memperkukuh sistem amaran awal serta memperluas penyampaian maklumat bencana secara digital kepada penduduk di kawasan berisiko.
Katanya, berpandukan Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030, Malaysia turut membangunkan strategi di peringkat negeri bagi memastikan persediaan menghadapi bencana disesuaikan dengan risiko setempat dan keperluan golongan rentan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Malaysia menyeru supaya Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan ASEAN (AHA Centre) diperkukuh melalui sokongan institusi dan pembiayaan yang mampan.
“Kerjasama di bawah One ASEAN, One Response juga perlu merangkumi pencegahan, kesiapsiagaan dan tindakan awal agar negara anggota dapat menyelaras bantuan sebaik sahaja amaran dikeluarkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














