Suasana latihan simulasi kecemasan di KLCC membabitkan pelbagai agensi keselamatan dan penyelamat, semalam.

Simulasi kecemasan KLCC uji kesiapsiagaan polis, agensi keselamatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Latihan simulasi kecemasan di Gas District Cooling Plant, Kuala Lumpur City Centre (KLCC) di sini, semalam, menguji kesiapsiagaan anggota polis dan beberapa agensi keselamatan dalam menangani insiden berisiko tinggi.

Latihan itu membabitkan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dengan beberapa senario kecemasan yang memerlukan tindakan segera, kawalan kawasan serta pengurusan keselamatan orang awam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin berkata, beliau bertindak sebagai Komander Kumpulan (Group Commander) bagi menggerakkan sumber manusia dan aset operasi serta memastikan setiap tindakan di lapangan dilaksanakan dengan pantas, teratur dan berkesan.

Menurutnya, latihan berkenaan turut memperlihatkan kerjasama erat antara IPD Dang Wangi dengan agensi sahabat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Kementerian Kesihatan, Jabatan Pertahanan Awam, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Tenaga Nasional Berhad.

“Kesepaduan tindakan, perkongsian kepakaran dan penyelarasan sumber antara agensi menjadi tunjang utama dalam memastikan setiap insiden dapat ditangani secara bersepadu, sistematik dan berkesan demi menjamin keselamatan serta kepentingan awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Meurut beliau, pihak polis mengesahkan tiada kejadian serangan sebenar berlaku.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang boleh menimbulkan kegusaran masyarakat. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN