SEBERANG PERAI – Demi mengejar komisen dan upah tinggi lebih, segelintir pemandu lori sanggup membawa muatan berlebihan sehingga 90 peratus melebihi had yang dibenarkan.
Perbuatan itu dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang menerusi Ops Perang Lebih Muatan yang dilaksanakan pada pukul 2 pagi tadi bagi membanteras kesalahan membawa muatan berlebihan melibatkan kenderaan perdagangan.
Sebanyak 46 kenderaan diperiksa dengan lima daripadanya dikenakan tindakan atas kesalahan membawa lebih muatan.
Pengarah JPJ negeri, Zulkifly Ismail berkata, amalan tersebut dipercayai berlaku apabila sebahagian pengusaha syarikat pengangkutan membayar komisen kepada pemandu berdasarkan jumlah muatan yang dibawa, selain gaji asas.
Katanya, keadaan itu mendorong pemandu membawa muatan melebihi had dibenarkan bagi mendapatkan pendapatan lebih tinggi dengan melakukan lebih banyak perjalanan atau trip.
“Setakat ini, kita mengesan pelbagai tahap kesalahan termasuk ada yang membawa muatan sehingga 90 peratus melebihi had dibenarkan, manakala selebihnya antara 30 hingga 40 peratus,” katanya pada sidang akhbar di Seberang Jaya, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kenderaan yang dikesan membawa muatan berlebihan itu antaranya mengangkut pasir, batu-batuan, hasil galian dan produk pertanian. – KOSMO! ONLINE














