HULU LANGAT – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus Sungai Raya di Kampung Sungai Raya, Batu 9, di sini memasuki hari kedua dengan pencarian meliputi jarak kira-kira lapan kilometer.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, operasi pencarian disambung semula pukul 9 pagi tadi dengan membabitkan dua pasukan SAR.
Beliau berkata, pasukan pertama terdiri daripada anggota Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bersama anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tun Hussein Onn yang menjalankan pencarian menggunakan teknik surface searching dengan menyusuri sungai menggunakan kayak.
“Pasukan A melakukan pencarian bermula dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh sehingga bertemu dengan pasukan B, membabitkan jarak kira-kira empat kilometer,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pasukan kedua pula terdiri daripada anggota BBP Tun Hussein Onn bersama Angkatan Pertahanan Awam yang menjalankan pencarian menggunakan teknik sama di sepanjang Sungai Batu 10 sehingga bertemu pasukan pertama.
Semalam, operasi hari pertama ditangguhkan pada pukul 12 tengah malam berikutan hujan renyai dan keadaan arus sungai yang deras.
Dalam operasi berkenaan, dua pasukan ditugaskan melakukan pencarian di kawasan tebing Sungai Raya sepanjang kira-kira lima kilometer, manakala anggota BBP Kajang menjalankan pencarian di kawasan perangkap sampah Batu 10, Cheras.
Operasi hari kedua itu membabitkan 11 anggota JBPM, tujuh anggota polis dan dua anggota APM dengan kekuatan sebuah jentera Fire Rescue Tender serta sebuah kenderaan utiliti.
Mangsa merupakan seorang lelaki yang identitinya masih belum dikenal pasti dan dilaporkan hanyut dibawa arus sungai. – KOSMO! ONLINE














