SEREMBAN – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menggantung prosiding pendakwaan melibatkan bekas Undang Luak Sungei Ujong Datuk Mubarak Thahak@Dohak bagi membolehkan persoalan undang-undang berhubung kedudukan, bidang kuasa dan perlembagaan didengar dan diputuskan terlebih dahulu oleh Mahkamah Tinggi.
Hakim Tasnim Abu Bakar membuat keputusan itu selepas meneliti hujahan pihak pembelaan dan pendakwaan.
Hari ini ditetapkan untuk prosiding pendakwaan ke atas Mubarak berkaitan pertuduhan menghasut. Mubarak tidak hadir ke mahkamah hari ini.
Dalam keputusannya, Tasnim membenarkan permohonan dan bantahan awal pihak pembelaan untuk menggantung prosiding pendakwaan mengikut Seksyen 30(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dan menetapkan 19 Jan depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan perkembangan dan status keputusan Mahkamah Tinggi.
Pihak pembelaan yang diketuai peguam Asmawi Ismail memohon supaya prosiding ditangguhkan, termasuk pembacaan pertuduhan dan perekodan pengakuan, sementara persoalan perlembagaan dan isu undang-undang berkaitan kedudukan anak guamnya diputuskan.
Asmawi turut memohon supaya kehadiran anak guamnya dikecualikan pada tarikh sebutan akan datang.
“Kami dengan hormat memohon supaya Mahkamah mempertimbangkan penggunaan kuasanya di bawah Seksyen 30(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk menggantung prosiding dan menghantar rekod prosiding kepada Mahkamah Tinggi berhubung persoalan kesan peruntukan Perlembagaan yang dibangkitkan,” katanya.
Peguam itu berkata permohonan tersebut dibuat bagi membolehkan persoalan asas mengenai bidang kuasa dan perlindungan perlembagaan anak guamnya ditentukan secara teratur.
Mubarak turut diwakili peguam Vel Manoharan, Dr Hanif Hassan, Emirul Sarifudin Nor Azmi, Deidra Nor Azmi, Nabilah Nor Azmi dan Fathin Syuhadah Mohd Yasin.
Timbalan Pendakwa Raya Shahrizat Ismail dan Husni Fairos Ramly yang mengendalikan kes itu membantah permohonan pihak pembelaan untuk menggantung prosiding dan merujuk persoalan pertuduhan ke Mahkamah Tinggi.
Shahrizat berhujah bahawa isu berkaitan kedudukan Mubarak sebagai Undang Luak Sungei Ujong tidak lagi terpakai kerana beliau telah diberhentikan daripada jawatan itu pada 13 Mei 2025, sebelum pertuduhan dibuat.
Beliau berkata perkara itu disahkan melalui warta Kerajaan Negeri Sembilan pada Oktober lepas.
Dalam pada itu, Husni turut memohon supaya kes diteruskan di Mahkamah Sesyen dan permohonan pembelaan ditolak, selain meminta mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap Mubarak kerana gagal hadir ke mahkamah tanpa alasan munasabah.
Media semalam melaporkan Mubarak akan dituduh mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948, iaitu berkaitan menyebut perkataan menghasut yang didakwa dilakukan pada April lepas. – BERNAMA














